Kakitangan Awam Jangan Sebar Berita Palsu


SERDANG- Kakitangan kerajaan diminta untuk tidak menyebarkan berita palsu mengenai kerajaan dan sebaliknya menyebarkan maklumat sebenar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pekerja sektor itu yang sepatutnya mempertahankan kerajaan sekiranya mereka menerima berita palsu, yang kini semakin banyak tersebar.

"Sebagai contoh pada PRU13 lalu, tersebar satu berita kononnya 30,000 pekerja Bangladesh mendapat IC dan mengundi (pada hari pilihan raya itu).

"Takkanlah kerajaan nak benarkan mereka mengundi. Ketika sesi pengundian sedang berlangsung, ada ejen tempat mengundi yang menjaga kaunter pengundian.

"Sekiranya ejen tempat mengundi mendapati rupa seseorang pengundi itu mencurigakan, mereka boleh membuat bantahan serta-merta," katanya ketika berucap semasa Majlis Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Tahun 2017 di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Selain itu, menurutnya, terdapat beberapa berita palsu lain yang dicipta dan disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga segelintir rakyat mempercayai berita berkenaan.

Oleh itu, beliau mahu pekerja awam menjadi tulang belakang kerajaan, dengan memberi penjelasan sebenar terhadap fakenews yang mereka terima.

"Sebelum ini, Datuk Seri Azalina (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) telah mengumumkan bahawa kerajaan akan mengubal sebuah akta bagi membendung berita palsu. Walaupun akta ini digubal, ia tidak bermakna kerajaan mengawal freedom of speech rakyat.

"Anda masih boleh lagi kongsi maklumat serta berita dalam mana-mana media sosial, asalkan maklumat dan berita yang disebarkan itu adalah benar," ujarnya.

Sumber: Sinar Online