VIDEO memaparkan seorang kakitangan sebuah hotel di Bali, Indonesia meminta pelanggannya melakukan ‘blow job’ atau seks oral sekiranya mahu baki wangnya dipulangkan telah mengundang kecaman hebat netizen di media sosial.
Aneta Baker, berasal dari New Zealand memuat naik rakaman berdurasi lebih lapan minit, merakam perbualan bersama lelaki tempatan berkenaan dalam kejadian yang berlaku pada petang Jumaat, 31 Januari lalu.
Menerusi status panjang yang disertakan bersama gambar pekerja hotel berkenaan, Aneta menjelaskan lelaki berkenaan memintanya melakukan perkara tidak senonoh selepas dia meminta mengembalikan wangnya berikutan berlaku salah faham ketika tempahan bilik hotel.
Difahamkan, Aneta mendakwa dia dan kawan-kawannya tidak menginap di hotel berkenaan selama satu malam, sebelum tarikh mereka daftar keluar dan memohon untuk pihak hotel memulangkan semula wang tersebut.
Bagaimanapun, pekerja lelaki berkenaan, seperti dipetik di dalam rakaman video menjelaskan proses untuk memulangkan wang kepada Aneta perlu melalui proses yang agak lama, dan kebarangkalian untuk dia mendapatkan semula wang tersebut adalah rendah.
Suspek kemudian bersetuju untuk memberikan semula wang Aneta tetapi dengan syarat mangsa perlu memuaskan nafsunya dengan melakukan seks oral.
“Dengar apa yang dia kata pada 0:09 saat. Dia nyatakan ‘sesuatu yang tidak senonoh’ (blow job) dengan perlahan tetapi ia boleh didengar dengan jelas,” tulisnya.
Video yang dimuat naik sejak 2 Februari lalu turut menerima tontonan lebih daripada 3.8 juta kali dan menerima lebih 20,000 perkongsian daripada pengguna media sosial.
“Wanita semua, kamu tahu jika sesuatu tidak betul dan kamu dibenarkan untuk bersuara! Lelaki semua juga jika kamu mendengar sesuatu yang tidak betul, pertahankan dia (wanita).
“Saya minta anda jadi berani dan berani, kamu (wanita) mempunyai harga diri di dunia dan sepatutnya tidak boleh diletakkan dalam situasi ini atau seseorang menawarkan perkara seperti ini kepada kamu,” tegas ibu kepada seorang anak itu.
Status yang dimuat naik Aneka itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, dan antaranya beranggapan kemungkinan Aneta tersalah dengar dan menganggap mungkin lelaki itu menyebut ‘baucar’ dan bukannya ‘blow job’.
Tambahan, lelaki berkenaan tidak begitu fasih berbahasa inggeris yang menyebabkan dia menyebut perkataan itu dengan nada yang tidak betul.
Namun, media Indonesia melaporkan suspek, yang hanya dikenali sebagai ADR, 31, mengaku meminta pelancong wanita itu melakukan seks oral.
Pegawai polis Kuta, Kompol Nyoman Wirajaya berkata, suspek berdepan hukuman penjara 12 tahun kerana mengeluarkan kata-kata lucah terhadap mangsa.
“Suspek telah mengaku menyebut perkataan ‘blow job’ dan dia akan didakwa mengikut undang-undang anti pornografi.
“Untuk sementara dia tidak ditahan tapi wajib melaporkan diri di balai pada setiap Isnin dan Khamis.
“Kami turut merampas barang bukti seperti rakaman video, baju, seluar dan sepasang kasut kerja suspek,” katanya seperti dilapor Tribunnews, kelmarin.
Sementara itu, pihak pengurusan hotel memaklumkan kakitangan terbabit telah dibuang kerja dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook rasmi hotel berkenaan.
“Kami kesal dengan kejadian yang menimpa pelanggan kami. Sudah tentu kami tidak dapat menerima kelakuan sebegini dari kakitangan kami. Kakitangan terbabit tidak lagi bekerja di hotel dan siasatan sedang dijalankan,” kata kenyataan itu. - Kedahnews.com