KUALA NERANG - Tahun ini tahun pertama Ong Sai Gin, 85 tahun, menyambut Tahun Baru Cina di Rumah Orang Tua Bukit Bethel, di sini.
Hari ini, tiada bezanya dengan hari-hari biasa yang ditempuhi sejak dihantar ke situ oleh adiknya penghujung tahun lalu.
Gin mempunyai dua anak, masing-masing telah berkahwin dan menetap di ibu kota.
Sebelum dihantar ke rumah jagaan itu, Gin menumpang di rumah adiknya di Gunung Keriang, Alor Setar.
Menurut Gin, sambutan Tahun Baru Cina tidak bererti tanpa keluarga.
Mengenangkan itu, dia berasa pilu kerana Tahun Baru Cina sebelum ini disambut bersama mendiang suami dan anak-anak.
“Hati anak saya susah nak agak. Dia rasa boleh datang, dia datanglah; rasa tak boleh datang tengok mak, dia tak datang. Apa nak buat.
“Berharap tu memanglah berharap, siapa yang tak berharap. Orang tua memang begitu.”
Gin yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, seboleh-bolehnya mahukan perubahan sempena Tahun Baru Cina kali ini.
Sisa hidup yang masih berbaki itu diharap dapat dikongsikan bersama anak-anak dan cucunya.
Rumah Orang Tua Bukit Bethel yang dibuka sejak 50 tahun lalu setakat ini menempatkan sejumlah 15 orang penghuni berusia di antara 66 dan 89 tahun.
Sumber:Astro Awani