Kanak-Kanak, Pornografi Dan Pedofilia


ERA serba moden hari ini memudahkan kita mengakses apa sahaja maklumat. Ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja pada bila-bila masa.

Menyentuh zaman teknologi maklumat yang memberi banyak manfaat kepada kita, ia juga datang dengan pelbagai unsur negatif. Kecanggihan teknologi telefon bimbit dan segala aplikasi media sosial antara faktor utama pornografi sangat mudah berada dalam genggaman tangan dan memasuki ruang peribadi kehidupan pelajar.

Hal ini menyebabkan mereka mudah meneroka tanpa batasan dan memperoleh 'dadah' pornografi dengan sekelip mata.

Sejak awal sekolah rendah, wabak pornografi ini akan meracuni pemikiran pelajar. Sehinggalah ke dunia IPT, bahan pornografi lebih mudah dimiliki tanpa rasa bersalah.

Pornografi memusnahkan sistem pemikiran mereka. Bukan itu sahaja, 'virus' ini mampu mempengaruhi fizikal dan emosi sehingga ke tahap amat teruk. Akhirnya, kualiti pencapaian mereka dalam pelajaran akan merosot.

Selain isu pornografi, masalah pedofilia juga semakin merebak, dan jika tidak diberi perhatian sewajarnya, masalah ini akan menjadi barah dalam masyarakat.

Paling mengejutkan apabila seorang pelajar kita dihukum penjara lima tahun kerana disabitkan bersalah oleh sebuah mahkamah di London atas dakwaan memiliki imej dan video pornografi kanak-kanak.

Apa itu pedofilia?

Pedofilia adalah gangguan psikiatri melibatkan orientasi seksual yang mana kebanyakan pedofil boleh menjadi heteroseksual, homoseksual atau biseksual.

Berdasarkan DSM-III (Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders) dan  Persatuan Psikiatri Amerika, 1987) menyenaraikan ciri-ciri dan kriteria penting pedofilia sebagai berulang-ulang, dorongan seksual, kebangkitan fantasi dan hubungan seks serta berlaku sekurang-kurangnya tempoh enam bulan.

Ia melibatkan aktiviti seksual terhadap kanak-kanak yang umumnya berumur 13 tahun ke bawah.

Pelakunya berumur 16 tahun ke atas, sekurang-kurangnya 5 tahun lebih tua daripada mangsa dan mempunyai kepentingan seksual yang kekal dan eksklusif pada kanak-kanak. Ikuti Sorot minggu ini mengenai isu porno, pedo dalam kalangan pelajar.

Media sosial punca ketagih pornografi
TERJEBAK dalam kancah zina seawal usia 10 tahun, seorang gadis membuat pengakuan berani apabila sudah lebih 100 kali melakukan hubungan seks sehingga berusia 15 tahun.

Hanya mahu dikenali sebagai Wati Wahab, 16, gadis ini mendedahkan kisah hitamnya terjerat dengan ketagihan pornografi yang membawa ke lembah zina.

“Semuanya bermula dengan media sosial seperti Facebook, Messenger, Bee Talk, Foursquare dan  paling teruk ialah WeChat sebab menerusi aplikasi ini saya tak perlu kenal orang itu boleh bersembang dan berkongsi maklumat yang dikehendaki.

“Saya mulakan dengan panggilan ‘sayang’ dengan semua orang kemudian guna perkataan menggoda biasanya memang senang menjebak, jarang ada lelaki yang menolak.  Semuanya mengalu-alukan. Biasanya dimulakan dengan perbualan lucah, atau lebih dikenali sebagai ‘phone sex’ yang berlanjutan kepada perjumpaan dan zina,” dedahnya kepada Sinar Harian.

Wati membongkar lagi cerita silamnya yang bergelumang dosa itu, katanya ketika melakukan hubungan seks dia dan pasangan akan menonton video pornografi.

“Tontonan pornografi ketika melakukan seks membuka peluang untuk mempelajari teknik dan posisi seks lebih hebat, kami cuba aksi-aksi seperti ditonton.

“Perbuatan-perbuatan seperti ini mendorong kepada ketagihan seks yang agak teruk sehingga saya beronani Hinggakan ada saja masa lapang saya akan tonton video lucah.

“Walaupun saya kini dalam proses pemulihan dan taubat tetapi dahsyatnya ketagihan terhadap seks ini mengganggu khusyuk saya dengan ALLAH.

“Pernah masa solat  boleh terbayang lagi ‘benda-benda’ tidak senonoh, saya cepat-cepat istighfar. Saya akui terlalu muda terjun balik ke lembah zina kerana setiap nampak lelaki memang bernafsu,” akuinya.

Dahulu, Wati agresif memilih lelaki untuk melakukan seks kini dia cuba menerima ‘kerosakan’ hidupnya berusaha bertaubat.

‘Umur lima tahun sudah diajar hubungan sejenis’
“Terlalu lama saya bergelumang dalam kancah zina bukan setakat dengan lelaki, malah perempuan juga. Saya akui mempunyai dua orientasi seks iaitu terhadap perempuan dan lelaki. Semua ini bermula sejak saya berusia lima tahun,” demikian pendedahan Mira Ali, 17.

Mira kini dalam proses pemulihan di Rumah Puteri Arafiah, Shah Alam berkata, ketika berada di pusat pemulihan juga dia pernah 'kantoi' dengan warden dan pengurus kerana menjalin hubungan songsang dengan salah seorang pelatih.

“Sebenarnya orang yang bertanggung jawab mengajar saya menjadi lesbian ialah mak cik saya. Masa itu saya baru berumur lima tahun, dia ajar saya macam mana nak main benda itu, ketika umur 16 tahun saya pernah lakukan hubungan seks dengan perempuan.

“Kemudian baru saya cuba dengan lelaki, ya saya biseksual. Memang susah untuk berubah dan bertaubat tapi saya cuba,” katanya.

Tambah Miralagi, sebelum ini jika dia tidak dapat melampiaskan nafsu dengan lelaki biasanya dia akan melakukannya sendiri menggunakan ‘sex toys’.

“Saya pernah melakukan hubungan kelamin di luar tabi'i seperti tontonan dalam video lucah. Ada cara 'gang bang', 'threesome' dan akhirnya saya boleh melakukan hubungan sejenis dengan perempuan.

“Sebab perempuan dengan perempuan konon-kononnya boleh memenuhi nafsu kehendak dan sebagainya menerusi pelbagai adegan,” ujarnya.

Selain itu, Mira berkata, media sosial seperti Youtube juga antara punca berlaku tontonan pornografi selain mendorong kepada perlakuan lucah.

“Apabila sekali saja terjebak dengan seks dan pornografi ia boleh ketagi, saya juga berpotensi untuk cari lelaki.

“Ketagihan itu menyebabkan saya pula yang mencari lelaki dengan hasil tontonan bersama dan kemudian akan jadi zina, beranak dan sebagainya,” katanya.

Sumber: Sinar