Kantoi Atur Perlawanan Lepas Orang Mengadu


SINGAPURA: Kegiatan dua pemain profesional badminton negara yang disyaki mengatur perlawanan berjaya dihidu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas menerima laporan daripada seorang pemain bukan dari Malaysia pada hujung 2016.

Pemain berkenaan mendakwa dia ditawarkan habuan bagi mengatur perlawanan dalam satu kejohanan disertainya oleh pemain yang disyaki terbabit tetapi menolaknya sekali gus membuat laporan kepada badan induk dunia berkenaan.

Susulan itu, BWF melantik pegawai penyiasat sukan yang pakar dalam kegiatan mengatur perlawanan dan berpangkalan di Eropah untuk menjalankan siasatan ke atas kedua-dua pemain terbabit.

Wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Jadadish Chandra yang hadir sebagai pemerhati berkata, hasil siasatan penyiasat berkenaan yang juga hadir sebagai salah seorang saksi bagi memberi keterangan pada sesi sebutan kes hari ini mendapati kedua-dua pemain berkenaan sudah terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan sejak 2013 lagi.

Beliau berkata, kedua-dua pemain yang disyaki itu berdepan enam tuduhan mengatur perlawanan dalam enam kejohanan berbeza antara 2013 hingga 2016.

"Empat saksi daripada BWF hari ini hadir bagi memberi keterangan. BWF hari ini mengemukakan segala bukti yang mereka ada terhadap pertuduhan.

"Namun, saya ingin tegaskan semua bukti dan tindakan yang dibuat BWF adalah mengikut peraturan badan induk itu dan kuasa yang ada.

"Apa yang saya boleh kongsi ialah, kedua-dua pemain ini disyaki mengatur perlawanan selepas ada pemain membuat laporan kepada BWF, bukan pemain dari Malaysia. Dia ditawarkan untuk mengatur perlawanan oleh pemain yang disyaki.

"Dua pemain yang terbabit berdepan enam pertuduhan mengatur perlawanan antara 2013 hingga 2016," kata Jadadish ketika ditemui pemberita selepas tamat hari pertama sesi sebutan kes hari ini.

Ditanya sama adakah dua pemain yang disyaki terbabit itu ialah bekas juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkiffli dan bekas pemain skuad Piala Thomas, Tan Chun Seang, Jadadish bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak boleh cakap apa-apa mengenai ini, saya tidak boleh nafi atau mengiyakan," katanya.

Sesi sebutan kes akan kembali bersambung esok di Hotel Jen Tanglin Singapura pada jam 10 pagi dengan kedua-duanya akan diberi peluang untuk membela diri.

Sumber -BH