ALOR SETAR - Kemenangan 1-0 ke atas PKNP FC di Stadium Batu Kawan semalam memberikan suntikan semangat buat Kedah untuk terus bangkit dan beraksi cemerlang dalam saingan Liga Super selepas ini.
Skuad Helang Merah pimpinan Ramon Marcote sebelum ini kalah dalam dua aksi awal ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Perak.
Bagaimanapun, semalam mata penuh berada dalam genggaman Kedah hasil jaringan tunggal Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-85.
Ketika ditemui selepas perlawanan, Marcote berkata tewas dua perlawanan terdahulu benar-benar sukar untuk diterima.
Malah, beliau mengakui terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki segera dalam aksi terdahulu selain mengharapkan magis daripada anak buahnya pada aksi menentang PKNP semalam.
"Perancangan rapi sudah dilakukan untuk perlawanan ini dan kemenangan yang diharapkan akhirnya berjaya dicapai biarpun diberi saingan hebat oleh PKNP FC di awal permainan," katanya memetik BH Online.
Tambah Marcote,barisan pemainnya sudah melakukan yang terbaik untuk menang dalam pertemuan itu.
Katanya, kehadiran Andik Vermansyah ternyata berjaya mempamerkan aksi terbaik.
"Misi kami seterusnya adalah untuk menang ketika bertemu PKNS FC pada 23 Februari ini," ujarnya. - Kedahnews.com