Kedah Terima RM48.1 Juta Laksana 19 Projek Dari KKLW


ALOR SETAR – Sejumlah RM48.1 juta diperuntukkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi melaksanakan 19 Projek Quick Win iaitu projek yang perlu dilaksanakan segera khas kepada pembangunan di kawasan luar bandar dan wilayah di negeri Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Kedah, Datuk Mohd Tajudin Abdullah mendedahkan bahawa kesemua projek bersifat ‘titik sentuhan’ itu dilaksanakan bermula Januari lepas hingga Mei ini.

“Daripada RM48.1 juta, itu sejumlah RM10 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek ameniti sosial dan jalan perhubungan desa manakala sebanyak RM11.3 juta diagihkan untuk projek baik pulih rumah dan pembinaan rumah baharu di negeri ini.

“Sementara itu, RM465,000 lagi diperuntukkan bagi melaksanakan dua projek di bawah Felcra (Felcra Berhad), RM4.6 juta diagihkan kepada RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) yang membabitkan pelaksanaan dua projek serta RM21.7 juta lagi melalui Keda (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah) melibatkan 11 projek,” katanya.

Tajudin berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan projek itu di Pejabat Risda Daerah Kuala Muda/Yan semalam.

Selain itu, Mohd Tajudin turut menghabiskan masa melawat pusat jualan produk usahawan RISDA atau RisSMart.

Sementara itu, beliau turut mengharapkan agar lebih ramai pekebun kecil RISDA mampu melibatkan diri dengan aktiviti ekonomi tambahan sebagai langkah memperolehi pendapatan sampingan.

“Pekebun kecil boleh terlibat dalam aktiviti keusahawanan, penternakan, perladangan, ataupun membuka bengkel kereta dan motosikal, selain hanya tertumpu kepada hasil getah.

“RISDA kini mempunyai kedai sendiri yang berperanan memasarkan produk-produk seperti makanan, kraftangan dan sebagainya yang dihasilkan pekebun kecil, dan peluang ini harus direbut oleh mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, kedai yang baharu beroperasi sejak dua minggu lalu itu menempatkan lebih 10 produk yang diusahakan lapan pekebun kecil RISDA. - Kedahnews.com