Kehilangan Azmee Tiada Unsur Jenayah


BATU PAHAT - Kisah Azmee Elias yang hilang selama 13 hari sebelum ditemui tidak sedarkan diri di hadapan rumah lama neneknya di Kampung Bintang, Peserai, dekat sini, terus menimbulkan tanda tanya apabila polis mengesahkan setakat ini tiada sebarang unsur jenayah.

Rumah neneknya tidak berpenghuni dan dipercayai sudah ditinggalkan sejak lebih 10 tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata siasatan masih dijalankan pihaknya merangkumi pelbagai sudut dan kemungkinan.

Katanya, setakat ini, pihaknya belum merekodkan kenyataan Azmee, 36, berikutan masih dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan keadaannya masih lemah.

Beliau berkata, siasatan lanjut kes itu dijalankan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat dan IPD Putrajaya.

"Polis masih menyiasat bagaimana mangsa hilang tanpa dapat dikesan dan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumah neneknya di Kampung Bintang, Peserai.

"Ketika ditemui mangsa juga berada dalam keadaan tidak bermaya, dipercayai tidak makan dan minum selama beberapa hari.

"Bagaimanapun, kita minta supaya masyarakat tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan, " katanya ketika dihubungi.

Azmee, yang juga Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Mahkamah Syariah Jalan Duta dilaporkan hilang di ibu negara sejak 12 Februari lalu.

Beliau ditemui dalam keadaan terlentang tidak sedarkan diri di hadapan rumah neneknya di Kampung Bintang, Peserai, dekat sini, jam 4 petang semalam.

Beliau ditemui oleh bapa saudaranya, kira-kira 236 kilometer dari lokasi terakhir beliau dilihat di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Jalan Duta pada 12 Februari lalu, dengan memakai baju berwarna gelap dan berseluar kelabu, selain berkaca mata.

Pada 17 Februari lalu, polis menemui kereta Perodua Alza milik mangsa, yang ditinggalkan dalam keadaan berkunci di Jalan Jenderam, Dengkil, Selangor sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya.

Usaha mencari Azmee dilaporkan turut diperluaskan sekitar 100 kilometer (km) dari kawasan itu sebelum dia ditemui di rumah neneknya yang tidak berpenghuni.

Sumber: BH Online