Kekalkan Kerajaan Sedia Ada


YAN - Rakyat diminta untuk mengekalkan kepimpinan kerajaan sedia ada pada ketika ini bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Penyelaras Dun Sungai Limau, Datuk Norma Awang berkata, kerajaan pada masa ini melakukan pelbagai usaha dalam membantu menjaga kebajikan rakyat.

"Kita patut bersyukur dengan apa yang kerajaan sudah lakukan kepada kita jika dibanding dengan rakyat negara luar, ia sangat berbeza.

"Rakyat Indonesia dan Thailand contohnya, mereka sangat kagum akan sikap prihatin kerajaan Malaysia kepada rakyatnya," katanya ketika sidang media selepas majlis pemberian wang ehsan kepada mangsa banjir di Masjid Jamek Badlishah di sini, semalam.

Katanya, dia juga sangat yakin bahawa rakyat bijak untuk menilai siapa yang sentiasa membantu dan menjaga kebajikan mereka jika bukan kerajaan.

"Selain pemberian wang ehsan, kerajaan sering menjalankan jualan sentuhan rakyat bagi memastikan mereka berpeluang mendapatkan barangan yang jauh lebih murah daripada harga pasaran.

"Semua ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk kesenangan rakyat," katanya.

Sumber:Sinar Online