Kota Kinabalu: Polis menyelamatkan empat remaja termasuk seorang lelaki berusia 15 hingga 18 tahun selepas menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia didalangi pasangan kekasih warga tempatan.
Semua mangsa mengaku diperdaya menggunakan aplikasi WeChat dengan dijanjikan pekerjaan sebagai pelayan restoran sebelum dipaksa menjual tubuh.
Mangsa bukan saja dikurung di rumah milik sindiket di sebuah kampung di Putatan, malah dipukul sekiranya cuba melarikan diri atau enggan menuruti arahan pasangan kekasih masing-masing berusia 22 dan 30 tahun terbabit.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, kegiatan itu dibongkar hasil serbuan polis ke pusat hiburan di Cyber City, Jalan Lintas, 7 Februari lalu.
Katanya, tiga wanita bawah umur bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) mengaku dipergunakan sindiket berkenaan untuk tujuan pelacuran.
“Susulan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Putatan sebelum menahan kedua-dua suspek.
“Polis kemudian menyelamatkan remaja lelaki berusia 16 tahun di dalam rumah itu yang turut dieksploitasi bagi kegiatan maksiat oleh sindiket,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, semalam.
Chandra berkata, kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 14 Anti Pemerdagangan Orang 2007 (ATIP).
Dalam kes berasingan, sembilan sekeluarga termasuk kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditahan selepas dikesan aktif mencuri di pasar raya sekitar ibu negeri sejak beberapa bulan lalu.
Perbuatan kumpulan itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan membawa kepada penahanan mereka dalam serbuan ke tiga rumah di penempatan Telipok, di sini, Sabtu lalu.
“Hasil soal siasat, polis menyerbu sebuah premis di Tuaran dan menahan dua peniaga berusia 24 dan 48 tahun warga Pakistan yang dipercayai pembeli kepada barangan curi kumpulan berkenaan.
“Polis juga merampas pelbagai barangan termasuk pakaian, sabun pencuci, pewangi, barangan elektrik dan makanan dipercayai hasil kegiatan jenayah kumpulan berkenaan bernilai hampir RM8,000 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya.
Sumber: Metro