KUALA LUMPUR - Ibu bapa tidak sepatutnya menjadikan tuisyen (kelas tambahan) sebagai satu trend semata-mata kerana mahu anak-anak mereka cemerlang dalam akademik sehingga terlepas pandang peluang untuk mencungkil kemahiran dan kecenderungan lain.
Sebaliknya, kata Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim, ibu bapa perlu berkomunikasi terlebih dahulu dengan anak masing-masing bagi membolehkan mereka mengetahui kecenderungan minat anak-anak di sekolah.
"Jangan jadikan budaya hantar anak ke tuisyen ini suatu trend. Hentikanlah! Sebaliknya berbincang dahulu dan fikirkan sama ada tuisyen itu satu kewajipan atau keperluan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau mengulas trend ibu bapa yang masih mengukur kejayaan dalam peperiksaan sebagai penanda aras kecemerlangan anak-anak dan berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke kelas tambahan untuk mencapai tujuan tersebut.
Malah ada yang menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen sejak dari Tahun Satu dan ada yang menghadiri lebih daripada satu kelas tuisyen.
Mengulas lanjut keghairahan ibu bapa 'memenuhi' masa lapang anak-anak dengan kelas tambahan sejak awal persekolahan, Noor Azimah berkata langkah itu secara tidak sedar 'meragut' kebebasan zaman kanak-kanak golongan itu.
Katanya anak-anak mempunyai kecenderungan serta minat masing-masing dan perkara itulah yang seharusnya diasah, contohnya dalam bidang sukan.
"Kecemerlangan pelajar juga tidak semestinya dalam mata pelajaran sahaja, sebaliknya ada antara mereka yang cenderung dalam aktiviti lain. Pada masa sama menjadikan mental serta fizikal mereka sihat serta cerdas, ini yang perlu difokuskan oleh ibu bapa, galak apa yang anak-anak suka lakukan, bukan paksaan," katanya.
Berkongsi pandangan, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kamarozaman Abd Razak berkata dengan dasar pendidikan yang semakin ke arah pendidikan holistik, menghantar anak ke kelas tambahan untuk kecemerlangan akademik adalah sangat merugikan.
"Jika ibu bapa menghantar anak ke kelas tambahan untuk memantapkan komunikasi dalam Bahasa Inggeris atau asas agama Islam itu adalah bagus. Tetapi adalah lebih baik wang itu dilaburkan ke tabung PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) untuk menjalankan aktiviti yang boleh mencungkil kemahiran dan pembangunan karektor murid," katanya.
Kamarozaman berkata dalam hal ini ibu bapa perlu berlapang dada mengubah budaya untuk tidak terlalu berkira apabila membayar yuran PIBG, sedangkan sumbangan tersebut sebenarnya banyak manfaat untuk kepentingan pembelajaran murid.
Katanya dengan sistem pendidikan negara kini ke arah pendidikan holistik, ibu bapa perlu melihat kepada aspek keseluruhan kebolehan anak-anak mereka yang bukan sahaja melibatkan aspek akademik tetapi juga aspek lain.
Sejak tahun lalu, bagi sekolah rendah Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR), yang mana selain Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), PPSR turut mengandungi laporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Psikometrik serta Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
PPSR bukan sahaja menilai tahap akademik, malah turut melihat perihal fizikal, intelektual dan interpersonal seseorang murid itu sendiri.
Melalui sistem ini, UPSR hanya merupakan satu daripada empat komponennya dan format PPSR memberi peluang kepada ibu bapa untuk lebih mengenali kecenderungan serta potensi anak masing-masing kerana pentaksiran yang dilakukan lebih menyeluruh.
Sumber: Astro Awani