Kepesatan Pertumbuhan Malaysia Dijangka Berterusan


KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus mencatatkan pertumbuhan yang pesat, disokong oleh kepelbagaian dalam ekonominya termasuk inisiatif-inisiatif pembaharuan dan rangka kerja dasar ekonomi makro yang kukuh bagi menangani kejutan luaran, kata Kumpulan Bank Dunia.

Pengarah Kumpulan Prospek Pembangunan Bank Dunia, M. Ayhan Kose, berkata ekonomi Malaysia berprestasi baik dan kadar pertumbuhan sebenar bagi 2017 mungkin akan lebih positif berbanding 2016.

“Berdasarkan perspektif jangka panjang, Malaysia telah melaksanakan pelbagai pembaharuan dan ini telah mewujudkan hasil-hasil kemanfaatan yang anda (boleh) jangkakan dalam sesebuah ekonomi.

“Ekonomi Malaysia adalah jauh lebih pelbagai pada hari ini daripada 20 tahun lepas, (dengan) institusi-institusi dan rangka dasar makroekonomi yang lebih teguh. Jadi potensi pertumbuhan masih boleh mencecah tahap tertinggi,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai ‘Prospek Ekonomi Global’ di sini, Rabu

Bulan lepas, Bank Dunia, dalam laporan Prospek Ekonomi Global, berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia dijangka berkembang sebanyak 5.2 peratus tahun ini.

Kose berkata, laporan tersebut juga menekankan pengulangan sejarah kemelesetan ekonomi global, yang mana krisis seperti ini sepatutnya telah mengajar banyak negara bagi menyediakan dasar-dasar yang diperlukan untuk membantu mereka mengharungi kejutan seperti itu.

“Ini bukan bermaksud akan ada satu lagi kemelesetan tidak lama lagi.

“Pada masa yang sama, memandangkan sejarah biasanya berulang, adalah satu idea yang baik untuk bersedia bagi memastikan sistem kewangan yang berdaya tahan dan ruang polisi yang ada digunakan untuk melaksanakan dasar-dasar yang diperlukan bagi merangsang ekonomi jika berlaku krisis,” katanya.

Krisis kewangan global yang melanda pada 2007 – 2008, dianggap krisis kewangan terburuk sejak Zaman Meleset yang pernah berlaku pada 1930-an. Ia menjejaskan banyak negara di seluruh dunia.

Malaysia dan negara-negara Asia Timur telah mengalami krisis kewangan pada 1997. Ia bermula di Thailand apabila nilai baht menjunam selepas kerajaan Thai melepaskan tambatan dengan dolar US.

Negara-negara lain yang terjejas termasuk Korea Selatan, Singapura, Indonesia dan Filipina. – Bernama