Kerajaan Beri Amaran Pada Pihak Tawar Khidmat ‘Doula’


Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan sekiranya menerima laporan berhubung individu yang menawarkan perkhidmatan “doula” atau “peneman bersalin”, kata Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata setakat ini perkhidmatan ‘doula’ tidak ditawarkan di negara ini.

“Kalau ada laporan, kementerian akan ambil tindakan dan siasat. Jika didapati bersalah akan ambil tindakan…undang-undang kita ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sepakat Komuniti 1Malaysia di Dewan Gerakan Masyarakat Teluk Kumbar, di George Town kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes kematian bayi yang dilaporkan dilahirkan di rumah akibat lemas, kerana lahir secara songsang dan hanya disambut oleh suami yang tidak berpengalaman dengan bantuan ‘doula’ menerusi panggilan telefon yang tular di Facebook baru-baru ini.

Dr Hilmi menasihatkan para ibu terutamanya yang mempunyai risiko supaya bersalin di hospital kerajaan yang mempunyai kelengkapan dan kemudahan yang mencukupi dan mempunyai pakar serta jururawat bertauliah.

Sementara itu, berhubung kes rabies atau penyakit anjing gila di Sarawak, Dr Hilmi berkata jangkitan rabies kepada manusia masih terkawal dan beliau menasihatkan orang ramai yang digigit anjing supaya segera mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan.

“Kalau kena gigit cepat-cepat cuci luka itu dan kena pergi klinik kerajaan untuk rawatan,” katanya.

Sejak Jun tahun lepas, tujuh orang dimasukkan ke beberapa hospital sekitar Sarawak akibat digigit anjing dengan enam meninggal dunia termasuk yang terbaru pada 4 Februari lalu dan hanya seorang sahaja selamat.- Bernama