PEKAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan BN sentiasa berkongsi kejayaan serta kekayaan dengan rakyat dan bukannya kemiskinan atau penderitaan seperti yang dialami oleh rakyat di sesetengah negara.
Najib berkata kejayaan negara menguruskan pentadbiran dan ekonomi negara dengan baik membolehkan kerajaan mengagihkan hasilnya kepada rakyat tanpa mengira kaum bagi meningkatkan lagi taraf hidup mereka.
“Itu bukan bermakna negara tidak mempunyai orang miskin, namun jika tidak mempunyai pendapatan yang semakin meningkat, rakyat akan terpaksa berkongsi kemiskinan… Alhamdulillah pendapatan negara kita semakin meningkat.
“Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku keempat tahun lepas mencecah 5.9 peratus menjadikan kedudukan ekonomi negara antara yang tertinggi di dunia, kalau orang kata Malaysia negara bankrap, perlu diselamatkan atau Save Malaysia, maka itu adalah penipuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Kongsi Kasih bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2018 di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini semalam.
Majlis turut dihadiri isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan Datuk Seri Abu Bakar Harun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri Pahang.
Pada majlis itu, seramai 3,650 penerima terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan Orang Asli menerima sumbangan berupa angpau dan barangan keperluan harian.
Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan berkata penarafan terhadap ekonomi Malaysia itu diberikan oleh badan antarabangsa seperti Bank Dunia, Bloomberg dan Tabung Kewangan Antarabangsa Fund (IMF).
Ini sekali gus, katanya membuktikan tuduhan yang dilemparkan oleh pembangkang itu hanyalah bertujuan untuk memburuk-burukan dan menjatuhkan kerajaan semata-mata.
Menurutnya keadaan ekonomi yang kukuh juga membolehkan kerajaan turut membantu rakyat negara lain memerlukan dan hasil pertolongan itu hubungan diplomatik Malaysia dengan negara berkenaan juga bertambah kukuh.
Selain itu, Najib berkata hasil nilai ‘perkongsian’ yang diamalkan oleh kerajaan selama ini baik dari segi kuasa politik mahupun ekonomi membolehkan rakyat pelbagai kaum di negara ini hidup bersatu padu dan harmoni.
“Kita tidak bolot kuasa atas nama satu-satu kaum sahaja dan kita ambil iktibar serta hakikat bahawa untuk negara berbilang agama dan kaum berjaya, kita mestilah sanggup menjalin hubungan akrab untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu,” katanya.
Najib juga berkata kepelbagaian agama dan budaya menjadi keunikan Malaysia kerana ia membolehkan rakyat berkongsi kemeriahan pelbagai perayaan, sekaligus menjadi pengikat hubungan sesama individu.
“Meriahnya kerana di sini kita sambut hari raya dan bila Tahun Baharu Cina kita juga sambut… begitu juga dengan Deepavali dan Krismas. Bukan hanya menyambut, tapi ada masanya kita juga sama-sama bercuti pada hari perayaan itu,” katanya.
Najib seterusnya secara berseloroh menambah beliau berharap semangat dan ikatan yang erat itu akan berkekalan pada satu lagi ‘raya’ yang akan diadakan tidak lama lagi, merujuk kepada pilihan raya umum ke-14. – Bernama