Kerajaan Tambah Peruntukan Pasang Lampu Jalan Kampung


ALOR SETAR - Dengan lebih 317,000 pemasangan lampu jalan kampung (LJK) di seluruh negara bagi tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) hingga RMK-11, tiada siapa mampu menafikan betapa kerajaan benar-benar mahu memastikan masyarakat di desa menjalani kehidupan selesa dan selamat biar pun ada antara­nya bermastautin di kawasan ya­ng benar-benar jauh dari kota.

Walaupun perkara itu mungkin dianggap remeh bagi sesetengah pihak, namun fakta didedahkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kementeriannya memperuntukkan sehingga RM70 juta bagi menyelenggara dan membayar bil lampu jalan kampung setiap tahun, wajar membuka mata rakyat supaya mengenal erti syukur.

Kata beliau, jumlah besar itu bagaimanapun tidak menghalang kerajaan daripada terus ‘memberi’ cahaya kepada rakyat. 

Buktinya setelah berbelanja sehingga RM100 juta untuk memasang LJK di seluruh negara pada 2017, tahun ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengumumkan peruntukan dalam jumlah yang sama bagi tujuan berkenaan.

Sesuatu yang menarik me­ngenai projek di bawah seliaan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu adalah, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang sebelum ini hanya terlibat selaku agensi pelaksana, kini meluaskan peranannya dengan menampung sejumlah RM50 juta kos projek diumumkan Perdana Menteri itu.

Kenyataan tersebut dibuat ketika berucap dalam Majlis Sepetang Bersama Nelayan dan Penyerahan Lampu Jalan Kampung (LJK) 2017 Peringkat Nasional di Jeti Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Cenang, Langkawi, baru-baru ini, Perdana Menteri berkata, projek tersebut merupakan antara sebahagian daripada usaha kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat di kampung-kampung terus meningkat.

“Inilah kerajaan kita yang sentiasa memberi perhatian kepada masyarakat desa dan luar bandar. Sebagai contoh, di Parlimen ini sahaja sebanyak 537 lampu LJK siap dipasang dalam tempoh lima bulan bermula Mei hingga Oktober tahun lalu.

“Pemasangan itu memberi man­­­faat kepada 53,500 penduduk dari 107 kampung di sini manakala bagi seluruh Kedah pula, seba­nyak 8,086 unit LJK telah dipasang di kesemua 15 Parlimen yang menelan belanja sebanyak RM6.12 juta,” katanya memetik Utusan Online

Bagi Perdana Menteri, apabila beliau mahu melakukan sesuatu terutamanya kepada penduduk desa, se­galanya mahu dipastikan berada di tahap terbaik dan bukan sekadar ‘ada’ bagi memenuhi kehendak masyarakat luar bandar.

Justeru itu, tidak hairanlah mengapa beliau tampil dengan idea untuk memasang LJK jenis diod pemancar cahaya (LED) berwarna putih yang lebih terang berban­ding jenis High Pressure Sodium Vapour (HPSV) berwarna oren di kawasan-kawasan strategik antaranya di simpang-simpang utama kawasan kampung.

Ketika ditemui pemberita pada majlis sama, Ismail Sabri menjelaskan, untuk tahun ini sebanyak 102,737 LJK akan dipasang de­ngan 19,992 daripadanya merupakan lampu LED sementara 82,745 lagi merupakan HPSV.

“Secara purata, setiap kawasan Parlimen akan mempunyai sebanyak 400 unit lampu HPSV dan 140 unit lampu LED.

“Bagi pihak kerajaan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak TNB kerana sudi memperuntukkan sejumlah besar wang iaitu RM50 juta untuk menjayakan projek ini menerusi tanggungjawab sosial korporat­nya. Mungkin selepas ini banyak lagi CSR yang boleh difikirkan termasuk bersama syarikat lain,” ujarnya. -Kedahnews.com