Kerana Kuat Merokok, Fadlan Jalani Pembedahan Tonsil


MEROKOK semestinya diketahui sebagai satu tabiat yang membahayakan dan ia juga menyebabkan banyak penyakit kronik antaranya kanser paru-paru, kanser mulut dan banyak lagi.

Disebabkan tabiat merokok selama 10 tahun, pelakon Fadlan Hazim Anuwar, 26, kini bakal menjalani pembedahan bagi pembuangan tonsil pada 13 Februari ini.

Akibat penyakit itu, pelakon drama Meh Sandar Pada Aku itu juga dilaporkan sering mengalami kesukaran bagi melakukan aktiviti hariannya.

“Dalam setahun beberapa kali saya ditahan di hospital kerana selalu demam dan pernah berlaku kejadian saya pengsan di set penggambaran.

“Doktor sahkan saya ada tonsil sejak tahun 2014 lagi dan perlu menjalani pembedahan secepat mungkin agar ia tidak mengganggu aktiviti harian saya.


“Doakan pembedahan saya dipermudahkan dan semuanya baik seperti sedia kala. Insya-Allah selepas ini saya boleh bekerja seperti biasa,” katanya dipetik daripada mStar Online.

Antara penyebab utama dia menghidap penyakit tonsil itu ialah kerana beberapa tahun sebelum ini dia langsung tidak mementingkan penjagaan kesihatan.

Dalam masa yang sama, pelakon drama Cinta Hati Batu itu juga akui bahawa disebabkan tabiat merokoknya di usia muda turut menjadi sebab utama penyakit berkenaan.

“Saya merokok sejak usia masih muda lagi dan itulah puncanya. Mungkin terlalu kerap merokok menyebabkan tonsil saya menjadi lebih parah.

“Alhamdulillah, sudah setahun saya berhenti merokok. Tapi iyalah, benda dah nak jadi, tonsil itu masih ada dan perlu dibuang,” tambahnya lagi.

Oleh itu, sebagai pendekatan untuk memulihkan tahap kesihataannya, Fadlan kini giat menjalani aktiviti sihat seperti menghabiskan masa dengan bersenam di gimnasium.

Dengan cara itu, badannya akan menjadi sihat dan turut dapat mengelakkan daripada menghidapi penyakit lain. Kini barulah Fadlan sedar bahawa betapa pentingnya penjagaan kesihatan bagi diri seseorang.

“Kalau nak hilangkan tekanan, saya selalunya berkunjung ke gim dan mesti buat senaman ringan untuk keluarkan peluh.

“Semenjak mengamalkan gaya hidup sihat, badan saya lebih ringan dan emosi lebih stabil,” ujarnya lagi.

Mudah-mudahan semuanya baik-baik sahaja dan semoga kesihatan Fadlan akan kembali baik seperti sedia kala agar dia dapat menjalani aktiviti hariannya seperti biasa. - Kedahnews.com