Kes Bunuh Nhaveen Dipindah Ke Mahkamah Tinggi


GEORGETOWN - Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, memerintahkan kes empat remaja lelaki yang didakwa membunuh mendiang T Nhaveen, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Majistret Mohamad Amin Sahul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin bagi memindahkan kes itu, namun tiada tarikh ditetapkan.

Semua tertuduh, J Ragesuthan, 19; S Gokulan, 19 dan dua juvana didakwa membunuh Nhaveen, berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Jalan Kaki Bukit, Gelugor, di antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam, pada 9 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori.

Ragesuthan dan Gokulan diwakili peguam Datuk Ranjit Singh Dhillon, manakala dua juvana masing-masing diwakili peguam S Yagoo.

Terdahulu di Mahkamah Sesyen, Hakim Irwan Suainbon, menetapkan 27 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dera ke atas rakan mendiang Nhaveen, T Previnn, yang membabitkan keempat-empat tertuduh.

Irwan menetapkan perkara itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar memaklumkan mahkamah, terdapat beberapa dokumen yang masih belum diterima pihak pendakwaan.

Sumber: BH Online