Kes Farid: Penyanyi Nasyid Akan Hadir Beri Keterangan


PETALING JAYA – Polis mengesahkan seorang penyanyi kumpulan nasyid tempatan telah dihubungi untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya berhubung laporan polis yang dibuat pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari pada 31 Januari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata penyanyi berkenaan dapat dihubungi menerusi wakil peguamnya pada petang tadi.

“Penyanyi berkenaan akan hadir dalam tempoh terdekat manakala seorang lagi penyanyi daripada kumpulan R&B tidak dapat dihubungi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Karnival Sukan Piala Ketua Polis Negara 2017 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, di sini hari.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob.

Media sebelum ini melaporkan Farid Kamil membuat laporan polis mendakwa dirinya dianiaya tiga rakan artis yang mencemarkan minumannya dengan dadah sehingga berkelakuan ganas di Balai Polis Kota Damansara bulan lepas. – BERNAMA