Kes Pelajar Bunuh Diri Dituduh Curi Iphone: Guru Dipindahkan - Mahdzir Khalid


ALOR SETAR – Menteri Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid menzahirkan rasa simpati dan salam takziah kepada keluarga mendiang pelajar perempuan yang meninggal dunia selepas cuba bunuh diri selepas dituduh mencuri telefon bimbit.

Mangsa merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Mendiang dikatakan bertindak demikian selepas mengalami kemurungan akibat dituduh mencuri telefon bimbit iPhone milik gurunya, baru-baru ini.

Menurut Mahdzir, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan KPM menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan sebelum tindakan susulan dibuat.


“Kita melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga mendiang dan saya fikir biarlah siasatan penuh dibuat antara pihak sekolah, guru dan polis sebelum tindakan kita selepas ini,” katanya selepas hadir pada Program ‘Estate Run 2018’ di Homestay D’Belimbing, Kuala Nerang.

Sementara itu, guru terlibat telah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sementara menunggu siasatan lengkap dijalankan oleh polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Pada 1 Februari lepas, M.Vasanthapiriya meninggal dunia selepas tujuh hari dalam keadaan koma setelah gantung diri di bilik rumahnya akibat dituduh mencuri telefon bimbit gurunya dalam kejadian 24 Januari lepas. - Kedahnews.com