Kesan Mati Dijerut Perompak Di Alor Setar: Ibu Pesan Jaga Cucu


KOTA SETAR - Seorang warga emas sempat memberi pesanan terakhir kepada anak perempuannya sebelum ditemui mati dengan kesan jerutan pada leher dalam kejadian samun di Taman Malaysia, kelmarin.

Mayat mangsa Kau Fu Eng, 71, ditemui salah seorang anak perempuannya di sebuah bilik di rumah itu selepas pulang daripada menghantar cucu mangsa ke kelas tuisyen kira-kira jam 5.45 petang.

Anak perempuannya, Teoh Yean Sin, 41, berkata, dia berbual dengan ibunya kali terakhir pada waktu pagi hari kejadian selepas menerima panggilan daripada mendiang.

“Lebih kurang jam 7 pagi, ibu hubungi nombor saya. Kami berbual seketika dan dia mengingatkan supaya tidak lupa untuk melakukan upacara sembahyang seperti biasa.

“Dalam perbualan itu, ibu juga sempat bertanyakan keadaan anak-anak, dan kemudian meminta saya sentiasa menjaga mereka dengan baik dan belajar rajin-rajin,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyangka panggilan itu akan menjadi perbualan terakhir antara mereka berdua sehinggalah menerima panggilan daripada kakaknya.

Kata Yean Sin, dia mengetahui kejadian menimpa ibunya selepas diminta kakaknya pulang segera ke rumah di Taman Malaysia kerana sesuatu berlaku kepada ibu mereka.

Katanya, dia yang masih terkejut, tidak menyangka penyamun yang pecah masuk ke rumah sanggup bertindak kejam membunuh ibunya sedemikian rupa.

“Saya dimaklumkan ibu dijerut dengan tuala, kepalanya juga berdarah. Kenapa begitu kejam. Jikalau nak ambil barang ambillah, tetapi jangan sampai sanggup bunuh ibu kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa ditemui tidak sedarkan diri dengan kesan jerutan tuala dan kain pada leher mangsa di sebuah bilik di rumah itu.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati barangan berharga mangsa termasuk barang kemas bernilai RM10,000, tablet dan beberapa utas jam tangan hilang dipercayai dibawa lari.

Katanya, hasil bedah siasat ke atas mangsa dilakukan jam 10 pagi, semalam mendapati punca utama kematian warga emas terbabit disebabkan hentakan objek tumpul.

Katanya, terdapat kesan kecederaan di bahagian belakang kepala mangsa dipercayai akibat hentakan objek tumpul dalam bedah siasat yang selesai jam 2.45 petang itu.

Sumber: Sinar