KJ Beri Bayangan Bakal Tinggalkan KBS


KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin memberi gambaran awal bahawa beliau tidak lagi akan menerajui Kementerian Belia dan Sukan sewaktu menyampaikan amanat terakhirnya dalam majlis Perhimpunan Atlet Negara 2018 di ibu negara, semalam.

Dalam majlis yang dihadiri 470 atlet itu Khairy menyampaikan rangkuman selama lima tahun beliau menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), termasuk kejayaan serta kegagalan yang dicatat sukan negara dalam tempoh tersebut.

Tidak menafikan mahupun mengiakan terhadap ucapannya itu, Khairy dalam sidang akhbar selepas perhimpunan berakhir lebih selesa memilih jawapan selamat apabila berkata, sepanjang bergelar Menteri Belia dan Sukan, beliau hanya memainkan peranan yang kecil dalam memajukan dan membangunkan sukan negara.

“Saya hanya memainkan pe­ranan kecil selaku Menteri Belia dan Sukan kerana saya telah disokong oleh semua pihak.

“Kalau ada pun pencapaian, saya lihat kejayaan itu telah dicatat di pelbagai peringkat hasil pencapaian bersama,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, atlet negara telah mencipta kegemilangan apabila merangkul lapan gelaran dunia dalam pelbagai sukan.

“Sebagai contoh, atlet berbasikal, Azizulhasni Awang yang mempunyai ketinggian paling rendah berbanding pelumba-pelumba handalan dunia yang lain boleh menjadi juara dunia (dalam acara keirin).

“Cheong Jun Hoong pula berjaya memecah dominasi China dalam sukan terjun untuk merangkul gelaran dunia,” ujarnya.

Untuk rekod selain Azizulhasni serta Jun Hoong, enam lagi gelaran dunia dicipta menerusi Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20, masalah pembelajaran), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20, masalah pembelajaran), pasukan wusyu (dua gelaran dunia), Cheah Liek Hou (badminton SU5, kecaca­tan anggota bahagian atas) dan skuad boling wanita.

Untuk berlaku adil, Khairy memberitahu, sepanjang beliau memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan, bukan sekadar kenangan manis yang mahu dikongsinya tetapi juga kegagalan yang pernah melanda sukan tanah air.

“Saya tidak mahu hanya bercakap tentang kenangan manis, sebab itu di dalam ucapan tadi saya turut menyebut mengenai kegagalan. Antara kegagalan yang pernah saya rasai ialah pada 2014,” jelasnya.

Pada tahun berkenaan kontinjen negara gagal mencapai sasaran pingat emas yang ditetapkan dalam dua temasya iaitu Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.

Mengulas mengenai penggantinya kelak, beliau berharap setiap program yang memberi impak dapat diteruskan dan sesiapa sahaja yang mengisi portfolio itu berupaya memikul tanggungjawab dengan melakukan semakan semula terhadap pencapaian sukan negara secara keseluruhan.

Sumber: Utusan Online