Klip Video Namewee: Polis Buka Kertas Siasatan


KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap penyanyi rap Namewee berhubung klip videonya yang menggores sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau berkata PDRM bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat klip video kontroversi berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Sekyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya selepas merasmikan Program Kembara Bermotosikal Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) bersempena Hari Polis ke-211, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), hari ini.

Minggu lepas, Namawee memuat naik klip video terbaharunya bersempena Tahun Baharu Cina bertajuk ‘Like A Dog’ yang memaparkan sekumpulan individu memakai topeng anjing yang didakwa mengandungi aksi tarian lucah berdekatan Bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Kembara bermotosikal selama tiga hari itu membabitkan perjalanan sejauh 1,103 kilometer disertai lebih 50 pegawai dan anggota dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi bermula dari Pulapol ke lima buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.

“Ini merupakan inisiatif PDRM dalam usaha mengumpul dana bagi membantu pesara polis dan anggota keluarga mereka,” katanya. – BERNAMA