Kopi Pracampuran Cetus Penyakit Kronik, Obesiti


KUALA LUMPUR - Pengambilan kopi pracampuran herba dikenal pasti menjadi satu punca pelbagai penyakit kronik antaranya obesiti, kencing manis selain kesan buruk kepada organ dalaman.

Ramai pengguna tidak menyedari berikutan mudah terpedaya dengan iklan mendakwa kopi pracampuran itu mempunyai khasiat memulihkan syahwat, melangsingkan tubuh serta memutihkan kulit.

Pengerusi Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kelantan Prof Madya Dr Hamid Jan Bin Jan Mohamed berkata, pengguna tidak menyedari bahaya terkandung dalam kopi pracampuran berikutan diperdaya gimik bagi melariskan produk.

“Kebanyakan produk kopi pra campuran yang terdapat di pasaran tidak memberikan kesan dijanjikan. Malah kandungan herba didakwa diadun bersama kopi boleh diragui.

“Harga herba kononnya dicampur dalam peket minuman itu mahal dan mustahil untuk pengeluaran menggunakan bahan itu dengan kuantiti sepatutnya kerana ia akan mempengaruhi harga produk terbabit.

“Harga herba seperti ginseng dan tongkat ali bukan murah seperti disangka. Jika ekstrak herba itu digunakan, ia mungkin dalam kuantiti kecil dan tidak mampu memberikan kesan seperti diharapkan pengguna,” katanya.

Tiada kajian saintifik menunjukkan keberkesanan kopi pracampuran herba mempunyai kesan yang didakwa.

Sumber: MyMetro