KUALA LUMPUR - Sebanyak 14,144 jam tangan tiruan menggunakan jenama terkenal bernilai RM174,510 dirampas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur dalam Ops Barang Tiruan dijalankan baru-baru ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Lumpur, Wan Mhd Yusof W Taib berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat pemilik cap dagangan di negara ini yang mengikuti operasi di tiga kawasan di Chow Kit
Katanya, kesemua jam berkenaan dijual secara terbuka dengan harga sekitar RM150 hingga RM500 bergantung pada jenis jam antaranya ditawarkan sebagai replika menyamai jam berjenama yang asal.
"Selain dijual secara terbuka, ada jam ini turut disorokkan di dalam stor oleh pemilik yang menyedari kehadiran anggota KPDNKK.
"Namun, perbuatan mereka disedari oleh anggota penguat kuasa yang kemudian menggeledah dan menemui sejumlah jam yang disorok dalam beg plastik hitam," katanya.
Wan Mhd Yusof berkata, dalam serbuan pertama pihaknya merampas sebanyak 6,059 jam tangan tiruan bernilai RM90,885 terdiri daripada 3,542 unit jam tangan jenama Casio, 1,760 unit jam tangan G-Shock, 525 unit jam tangan jenama Edifice dan 232 unit jam tangan jenama Baby-G
Katanya, dalam rampasan kedua pula, pihaknya merampas 7,530 unit jam tangan bernilai RM75,300 terdiri daripada 2,850 unit jam tangan jenama Edifice, 3,320 G-Shock, 945 unit Casio dan 415 unit Baby-G.
"Manakala dalam serbuan ketiga, sebanyak 555 unit jam tangan bernilai RM8,325 iaitu 450 unit G-Shock, 60 unit Baby-G, 30 unit Casio dan 15 unit Edifice dirampas," katanya.
Sumber: BH Online