Lang Merah Lebur Rekod Tanpa Kalah PKNS FC


Kemenangan pasukan Kedah terhadap PKNS FC semalam sekaligus menyaksikan skuad Lang Merah itu berjaya meleburkan rekod tanpa kalah skuad kendalian Datuk K Rajagobal dengan jaringan 4-3 di Stadium Shah Alam, semalam.

Perlawanan bermula dengan PKNS FC terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-30 menerusi jaringan Mohd Faris Ramli.

Bagaimanapun, saingan dramatik terus tercipta apabila Kedah berjaya menyamakan kedudukan empat minit selepas itu apabila Liridon Krasniqi berjaya menyempurnakan sepakan penalti.

Babak kedua berlangsung menyaksikan PKNS kembali menjadi pendahulu melalui jaringan Mahali Jasuli, tetapi kegembiraan PKNS FC tidak kekal lama apabila Liridon sekali lagi mematikan kelebihan itu untuk mengikat kedudukan 2-2.

Serangan demi serangan akhirnya memberi kelebihan pada Kedah apabila berjaya mendahului pada minit ke-68 hasil jaringan sendiri pemain pertahanan PKNS sebelum Ariff Farhan Md Isa menoktahkan kemenangan dengan gol keempat Kedah meskipun Mahali Jasuli berjaya merapatkan kedudukan 4-3 di masa kecederaan. - Kedahnews.com