Langgar 2 Anggota Polis, Peniaga Dari Alor Setar Didenda, Diarah Bayar Pampasan


ALOR SETAR - Seorang peniaga didenda RM5,300 dan diarah membayar wang pampasan RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen, hari ini selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu sehingga mendatangkan kecederaan kepada pegawai polis yang sedang bertugas Sabtu lalu.

Tertuduh, Mohd Muzhaffar Hakimie Abdul Nasir, 19, yang memakai pendakap leher kerana turut cedera dalam kejadian tersebut membuat pengakuan terbabit sebaik pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Mohd Arif Mohamed Sharif.

Mengikut pertuduhan, dia yang menunggang motosikal Kawasaki didakwa cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya dalam Ops Selamat sempena Tahun Baru Cina di hadapan MADA Ampang Jajar menghala ke lampu isyarat Kilang Tebu hilang kawalan dan melanggar Inspektor S Tivagaran, 35, dan Konstabel Mohd Najhan Hafiq Tayib, 26 dalam kejadian jam 1.55 pagi Sabtu lalu.

Dalam kejadian, Tivagaran mengalami patah kaki kiri telah menerima rawatan di hospital manakala Mohd Najhan mengalami cedera ringan di tangan dan kaki.

Memetik BH Online Mohd Muzhaffar didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun dan turut dituduh mengikut Seksyen 55 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana enggan memberhentikan kenderaan yang dipandu atau ditunggang.

Bagi kesalahan memandu secara melulu, dia didenda RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar, manakala enggan memberhentikan kenderaan yang dipandu atau ditunggang apabila diminta pihak berkuasa didenda RM300 atau tiga bulan penjara.

Tertuduh turut diarahkan membayar wang pampasan sebanyak RM2,000 kepada Tivagaran yang mengalami patah kaki kiri selepas terbabit dalam kejadian itu.

Dia turut dikenakan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) di bawah seliaan Jabatan Parol selama 3 bulan, iaitu sehari selama empat jam melakukan kerja kebajikan.

Prosiding kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor Ahmad Shukir Saadon.

Sementara itu, tertuduh kemudian menjelaskan bayaran denda itu dan turut menyerahkan wang pampasan kepada wakil PDRM yang mewakili Tivagaran.-Kedahnews.com