PUNCA penyebaran dan penularan berita palsu atau berunsur fitnah, pada saya adalah kerana ramai yang ghairah untuk menjadi orang pertama menyebarkan sesuatu berita tanpa menyedari ia adalah berita palsu dan ada unsur fitnah.
Dalam hal ini, masyarakat kita perlu terus dididik menjadi lebih matang dan mempunyai tanggungjawab sosial terhadap bahan yang diperoleh terutama di media sosial.
Sepatutnya, apa saja berita atau bahan yang diterima diperiksa terlebih dahulu, ditapis atau jangan disebarkan jika tidak pasti kesahihannya.
Dalam aspek perundangan bagi menangani isu ini, kita mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun ia masih belum mencukupi.
Ada juga peruntukan undang-undang lain seperti Akta Hasutan untuk mendakwa mereka yang menyalahgunakan media sosial bagi menyebar fitnah atau berita palsu.
Perketat undang-undang sedia ada
Namun, saya berpendapat undang-undang sedia ada perlu diperketatkan kerana masyarakat seperti tidak takut dan berasa menyebarkan berita palsu itu bukan satu kesalahan, sedangkan mereka sebenarnya boleh dianggap bersubahat.
Jadi tindakan undang-undang perlu diambil sebagai pengajaran supaya orang ramai tidak sewenang-wenangnya menyebar berita palsu.
Cadangan mewujudkan akta khusus media sosial adalah baik, akan menjadikan liputan undang-undang itu semakin luas.
Bagi pihak kerajaan, langkah proaktif sudah diambil apabila diwujudkan portal sebenarnya.my yang boleh dijadikan platform untuk orang ramai menyemak dulu kesahihan sesuatu berita sebelum berkongsi.
Orang ramai sebenarnya tidak disekat untuk terus menyuarakan pandangan dan pendapat kerana media sosial adalah platform bagi menggalakkan mereka bersuara dan menyampaikan maklumat, namun ada yang menyalahgunakannya.
Pengguna perlu matang
Semua harus sedar, penggunaan media sosial harus berpada-pada, jangan menganggap setiap komen dan kritikan yang dibuat sebagai perkara kecil jika ia berbaur fitnah.
Media sosial membolehkan maklumat tersebar serta merebak lebih cepat, membawa kesan baik atau buruk. Sekiranya berita palsu atau fitnah tidak dikawal, masalah akan menjadi lebih teruk, jadi kerajaan harus bertindak sewajarnya.
Kita juga perlu melihat kembali tujuan sesuatu kumpulan
WhatsApp atau kumpulan Facebook diwujudkan, tentunya ada tujuan tersendiri seperti mengumpul dan menyampaikan maklumat kepada ahli kumpulan terbabit.
Sebab itu, perlunya kematangan sikap dalam kalangan setiap ahli kumpulan media sosial. Mereka perlu patuh serta kembali kepada tujuan asal penubuhan kumpulan terbabit.
Pada masa sama, 'admin' atau pentadbir kumpulan perlu memainkan peranan, ambil tindakan keluarkan ahli dalam kumpulan itu yang suka menyebar berita palsu.
Kita bimbang sekiranya tiada kawalan, ahli lain akan berasa tidak selesa sehingga boleh menimbulkan perbalahan. Sekiranya gagal dikawal dan banyak unsur fitnah berlaku, pentadbir itu boleh dipersalahkan.
Sumber: BH Online