Lebih 1,000 Bekas Ahli, Pemimpin Berhimpun Desak RoS Gantung PPBM


Lebih 1,000 bekas dan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyertai perhimpunan aman bagi mendesak Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) membuat kata putus mengenai kedudukan parti itu.

Jika PPBM  melanggar perlembagaan dan peraturan, mereka mahu parti itu digantung atau dibubarkan. 

Perhimpunan itu yang bermula pada pukul 2.30 petang semalam disertai bekas pimpinan kanan parti berkenaan yang tidak berpuas hati tindakan PPBM melanggar perlembagaan parti itu sendiri.

Bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, pihaknya berhimpun secara aman  bagi menuntut RoS beri kata putus terhadap kedudukan PPBM.

"Jika PPBM langgar peraturan, tidak boleh dibiar begitu sahaja, jangan kerana PPBM diketuai Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad) senang sahaja mereka langgar, ini tidak adil," katanya.

Sementara itu bekas Penyelaras PPBM Bahagian Kluang, Arjuna Putra Ali berkata, lebih 400 aduan yang dibuat oleh ahli akar umbi sepatutnya sudah cukup bagi RoS mengenakan tindakan terhadap PPBM.

"Kami mohon RoS ambil tindakan bubar atau gantung PPBM, ribuan ahli yang hadir hari ini bukannya kerana dedak atau bayaran tetapi kerana prinsip demokrasi yang dicanang PPBM itu sendiri,"katanya.

Semalam Ketua Pemuda PPBM, Syed Sadiq Syed Abdul Rahman bersama 60 penyokong  PPBM menghantar memorandum agar RoS mempercepatkan pendaftaran Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan juga memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi semalam untuk mendapatkan perintah jawapan daripada RoS tentang proses pendaftaran Pakatan Harapan dan menyegerakan pendaftarannya  bagi  membolehkan pakatan itu menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Antara sebab proses pendaftaran Pakatan Harapan tergantung kerana PPBM sedang disiasat selepas lebih 400 ahlinya membuat aduan kepada RoS, yang antaranya mendakwa mesyuarat agung tahunan (AGM) pertama parti itu hujung tahun lalu tidak mengikut perlembagaan parti. -Kedahnews.com