Lelaki Bawa Mayat Kekasih Direman Tujuh Hari


PETALING JAYA - Lelaki yang memandu masuk ke Balai Polis Damansara di sini dengan membawa mayat kekasihnya yang dibunuhnya ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Siti Mazrah Mohamad membenarkan permohonan itu dan memerintahkan lelaki berusia 37 tahun tersebut direman selama tujuh hari bermula Selasa hingga Isnin hadapan.

Terdahulu, lelaki yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di mahkamah pada pukul 11.15 pagi dan suspek yang diiringi polis keluar dari bilik reman sejam kemudian.

Lelaki tersebut memandu masuk kereta Honda City berwarna putih ke balai polis berkenaan kira-kira pukul 4 petang dengan membawa mayat teman wanitanya yang berusia 35 tahun di tempat duduk belakang.

Selepas memasuki balai, lelaki terbabit memaklumkan dia membawa teman wanita yang dibunuhnya di Kota Damansara dan datang ke balai untuk menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din dalam sidang akhbar semalam berkata, suspek dipercayai membunuh kekasihnya kira-kira pada pukul 1.30 tengah hari.

"Hasil soal siasat, suspek memberitahu dia membunuh mangsa di dalam kereta ketika berada di kawasan pusat beli belah di Kota Damansara.

"Suspek kemudian menyerahkan dirinya kepada polis di Balai Polis Damansara pada pukul 4 petang, pemeriksaan kemudian menemui mayat mangsa di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

"Pemeriksaan terhadap tubuh mangsa pula menemui kesan tikaman di bahagian leher dipercayai akibat ditikam oleh benda tajam yang ditemui di dalam kereta suspek," katanya.

Zani berkata, kes pembunuhan terbabit dipercayai bermotifkan perasaan cemburu.

Suspek dan mangsa bekerja dengan pihak pengurusan sebuah kondominium di Kota Damansara

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sumber: K! ONLINE