Lelaki Derita Sakit Untut Dibantu Ahli Parlimen Baling Dapatkan Rawatan


BALING – Seorang lelaki berusia 54 tahun terpaksa bergantung harap sepenuhnya kepada isterinya untuk meneruskan kehidupan selepas tidak berupaya bekerja kerana pe­nyakit untut atau sakit gajah yang dihidapi sejak dua tahun lalu.

Ahmad Zakaria, berkata, dia mengalami kesukaran untuk bergerak sejak menghidap pe­nyakit tersebut apabila bahagian paha hingga ke bahagian bawah kaki kanannya kian membesar.

“Keadaan kaki kanan saya ini semakin besar hingga menyukarkan saya untuk berjalan dan juga terpaksa menahan kesakitan jika berdiri terlalu lama atau berjalan dalam jarak yang jauh.

“Disebabkan penyakit ini, saya tidak dapat bekerja dan bergantung harap sepenuhnya kepada isteri, Norma Harun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gua Tinggi, Kuala Ketil di sini semalam.

Menurutnya, sejak menghidap penyakit tersebut dia tidak lagi bekerja dan segala tanggungjawab mengurus rumahtangga diambil alih oleh isteri­nya yang berusia 52 tahun.

Jelasnya, isterinya itu yang kini bekerja di sebuah kilang di Kuala Ketil dengan pendapatan tidak menentu juga tidak dapat menumpukan sepenuhnya kepada kerja kerana terpaksa mengambil cuti dan berulang-alik membawanya ke hospital mahupun klinik pada setiap bulan.

“Doktor mengesahkan belum ada lagi rawatan untuk menyembuhkan penyakit ini dan saya hanya menjalani rawatan susulan dengan mencuci nanah dan air bisa yang keluar melalui ce­lah-celah ketumbuhan di Klinik Kesihatan Kuala Ketil.

“Saya merasa risau dengan penyakit ini memandangkan kami tiada sumber pendapatan yang tetap dan anak bongsu yang berusia 13 tahun, Mohd. Azrul Hakimi, masih lagi bersekolah di Sekolah Menengah Parit Panjang,” kata Ahmad.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, yang menziarahi Ahmad berkata, beliau akan membantunya untuk mendapatkan rawatan pakar di Hospital Selayang dalam masa terdekat ini.

“Saya mencadangkan agar kaki yang bengkak itu dipotong bagi mengelakkan jangkitan virus lebih meluas dan merebak ke bahagian-bahagian lain.

“Saya juga akan membantunya mendapatkan bantuan pesakit terlantar dari Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh mereka,” kata Abdul Azeez.

Bagi mereka yang ingin membantu Ahmad, boleh meng­hu­lurkan sumbangan melalui akaun Public Islamic Bank 6-8072239-22 atau hubungi me­lalui talian 013-4743582.

 Sumber: Utusan Online