SUNGAI PETANI - Seorang lelaki yang mencabul kanak-kanak perempuan dalam klip video yang tersebar luas sebelum ini, mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan melakukan gangguan seksual ke atas mangsa.
Tan Seong Hee, 44, yang bekerja sebagai buruh, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.
Berdasarkan pertuduhan, Seong Hee didakwa melakukan gangguan fizikal bagi maksud seksual dengan menyentuh badan mangsa yang berusia tujuh tahun.
Perbuatan didakwa dilakukan tertuduh di kawasan Tapak Euro Happy Fun Fair bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, jam 11 malam 20 Januari lalu.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Shamsul Singring, mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Mahkamah menetapkan 1 Mac untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan psikiatri tertuduh manakala dengan tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.
BH sebelum ini melaporkan penahanan seorang lelaki susulan yang diterima selepas video memaparkan perbuatan tidak senonoh tertuduh tersebar di media sosial.
Berdasarkan rakaman, lelaki itu dilihat memangku kanak-kanak perempuan terbabit sambil tangannya berada dalam baju mangsa.
Sumber: BH Online