JITRA - Seorang lelaki warga emas melecur semasa cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Batas, Changlun, Bukit kayu Hitam, petang kelmarin.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, mangsa berusia 60 tahun mengalami luka melecur kira-kira 30 peratus di bahagian hadapan badannya.
"Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang, mangsa mengalami kecederaan dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas B penghuni yang terbakar hampir 90 peratus.
"Sejurus menerima panggilan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam bergegas ke lokasi kejadian jam 4.36 petang," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian, mangsa dikejarkan ke Hospital Jitra.
"Pasukan BBP Bukit Kayu Hitam dan Jitra melibatkan kekuatan seramai 12 anggota termasuk penyelia melakukan kerja-kerja pemadam.
"Kerja-kerja memadam api berjaya dikawal pada jam 5 petang dan operasi ditamatkan pada jam 5.30 petang.
"Punca kebakaran dan jumlah kerugian dialami keluarga berkenaan masih dalam siasatan," katanya.
Sumber:Sinar Online