Lepas Chong Wei, Filem Biografi Azizul Ambil Giliran


SELEPAS filem biografi Datuk Lee Chong Wei, kini satu lagi filem biografi atlet sukan yang menceritakan kisah Azizulhasni Awang bakal diterbitkan tidak lama lagi.

Azizul atau lebih dikenali dengan gelaran The Pocket Rocketman, merupakan jaguh keirin yang telah menempa namanya dalam bidang sukan lumba basikal trek hingga peringkat persada dunia.

“Akan ada cerita di mana saya hampir meninggal dunia apabila dilanggar lori semasa mengayuh basikal di kampung, ada juga cerita pada waktu saya tiada duit untuk bertanding dalam acara lumba basikal, ada juga cerita yang mana saya perlu berkorban demi keluarga,” katanya dipetik daripada portal Astro Gempak.

Filem itu merupakan biopik yang menceritakan kisah benar perjalanan hidupnya daripada zaman kanak-kanak sehingga menjadi insan hebat yang dikenali masyarakat kini.

“Memang banyak kisah suka duka yang akan disampaikan. Cerita sebegini kalau diceritakan semula memang boleh buat saya sebak. Tetapi mesej utama filem ini adalah untuk menceritakan saat suka dan duka saya sehingga saya mampu berdiri teguh menjadi juara dunia pada waktu ini.

“Bukan itu sahaja, filem ini juga akan menerapkan tema perpaduan, semangat kesukanan dan ketabahan. Terlalu banyak nilai yang bakal ditayangkan dalam filem ini yang saya harap akan memberi inspirasi buat anak muda,” katanya ketika ditemui di sidang media Filem Biopik Azizulhasni Awang.




Jika dalam filem Lee Chong Wei: Menjulang Kejuaraan, watak Datuk Misbun Sidek dipegang oleh Datuk Rosyam Nor, dan kali ini bagi filem Azizul, dia mahukan Sheheizy Sam membawa watak sebagai The Pocket Rockeman.

Filem berkenaan merupakan kerjasama antara ThreeSixty Management, iaitu syarikat pengurusan Azizul serta uniTalent Sdn. Bhd. dan Universiti Utara Malaysia.

Jika mengikut perancangan, filem yang bakal mendapat sentuhan sutradara Raja Mukhriz itu bakal menemui penonton pada pertengahan 2019.

Pembikinan filem ini juga dikatakan bakal menelan kos sebanyak RM6 juta.

Bertemakan nasionalisme, filem biopik ini dapat menaikkan semangat patriotik dalam kalangan penonton di Malaysia.

Dalam masa yang sama, satu program berjudul ‘Misi Mencari Azizulhasni Awang’ turut bakal diadakan sebagai usaha pihak produksi bagi mencari bakat melakonkan watak Azizul. – Kedahnews.com