Lima Lemas Di Baling: Polis Tunggu Laporan Makmal


ALOR SETAR - Punca yang membawa kepada kematian lima lelaki yang dipercayai lemas di Sungai Muda, Kampung Padang Bukit, Baling, kelmarin masih belum dapat dirungkai oleh pihak polis.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, walaupun bedah siasat ke atas lima mangsa telah selesai dilakukan petang semalam, namun begitu pihak pakar bedah siasat masih perlu menunggu laporan makmal yang lebih terperinci.

“Sekumpulan pakar bedah siasat dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar telah menjalankan post mortem ke atas lima mangsa tersebut. Hasil bedah siasat telah selesai pada jam 6 petang hari ini.

“Namun pakar bedah siasat masih belum dapat mengesahkan punca kematian kerana perlu menghantar spesimen ke Jabatan Kimia bagi mendapatkan laporan analisis makmal yang lebih terperinci,” katanya semalam.

Kedahnews semalam telah melaporkan penemuan mengejutkan mayat lima lelaki yang ditemui terapung di permukaan sungai selepas dimaklumkan orang ramai.

Apa yang digembar-gemburkan, semua mangsa dipercayai lari daripada serbuan polis dalam Op Limau Judi Sabung Ayam pada 16 Februari lalu di dalam ladang kelapa sawit Kampung Tanah Licin. - Kedahnews.com