Logo 'Visit Malaysia 2020' Dapat Liputan Media Asing


NAMPAKNYA isu rekaan logo ‘Visit Malaysia 2020’ bukan sahaja menarik perhatian akhbar-akhbar tempatan, malah ia turut mendapat liputan meluas daripada portal-portal berita antarabangsa.

Ia jelas apabila portal BBC menerbitkan artikel bertajuk ‘Malaysia defends ‘hideous’ tourism logo despite criticism‘ yang membawa maksud, Malaysia pertahan logo ‘buruk’ pelancongan biarpun dikritik ramai, pada petang semalam.

Seperti biasa, portal-portal antarabangsa lain turut mengikut jejak memainkan isu itu antaranya Telegraph.co.uk, Channel News Asia, Stuff.co, Asiancorrespondent.com, Design Taxi, dan laman Creativebloq.




Logo kebanggaan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu mula menjadi kontroversi apabila ramai dakwa ia tampak tidak profesional dan rekaannya juga seolah dihasilkan dengan menggunakan aplikasi Microsoft Paint.

Kecaman demi kecaman terus dilontarkan sehingga ada pihak tertentu yang kemudian cuba melakukan petisyen antarabangsa menerusi laman Change.org supaya logo tersebut ditukar dengan kadar segera.

Terdahulu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz tetap mempertahankan rekaan logo ‘Visit Malaysia 2020’ biarpun netizen menimbulkan reaksi kurang senang terhadap rekaan tersebut.

Jawapan daripada Nazri itu seterusnya menyebabkan ramai pereka grafik tempatan menghasilkan logo rekaan mereka sendiri yang kemudiannya dimuat naik ke laman media sosial.

Lebih mengejutkan, ada yang hanya mengambil masa sekitar 20 minit untuk menyiapkan rekaan yang jauh lebih baik berbanding logo asal. – Kedahnews.com