Mahfuz Mahu PPBM, Tak Setuju PAN Tanding Di Pokok Sena?



SUDAH tiga bulan meninggalkan PAS, namun anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar masih 'belum berani' untuk membuat kepuutusan parti mana yang akan disertainya walaupun pilihan raya umum ke-14 semakin hampir.


Persoalan yang timbul sekarang, apakah bekas Naib Presiden PAS itu tidak yakin dengan empat parti dalam Pakatan Harapan sekarang? 


Atau beliau tidak bersetuju dengan Parti Amanah Negara (PAN) yang diletakkan bertanding di Pokok Sena?


Atau mungkin Mahfuz mengharapkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertanding di kawasan yang dimenangi  sejak tiga penggal itu?


Mahfuz yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Kedah kini masih bermain teka-teki berhubung kedudukannya sama ada akan kekal sebagai wakil rakyat Bebas atau menyertai mana-mana  parti dalam Pakatan Harapan.


"Saya akan membantu  Pakatan Harapan, (Parlimen) Pokok Sena dan juga di mana-mana," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.


Selepas 34 tahun bersama PAS, Mahfuz tidak lagi  sehaluan dengan kepimpinan parti itu selepas gagal mempertahankan jawatan pada muktmar parti itu pada 2015.


Awal bulan ini, beliau dilaporkan berkata keputusan parti mana yang akan disertai bakal diumumkan dalam tempoh 45 hari dan pada masa yang sama mahu mengajak rakan-rakannya dalam PAS untuk bersama-menyokong Pakatan Harapan.


Beliau dikatakan sedang berusaha memujuk beberapa wakil rakyat PAS  Kedah termasuk daripada DUN Bukit Pinang,  Alor Mengkudu, Sungai Limau, Merbau Pulas dan Kubang Rotan. 


Menurut Mahfuz, beliau akan berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas sehingga selesai persidangan Dewan Rakyat yang bermula Isnin ini dan akan membuar  pengumuman lanjut sama ada kekal Bebas atau menyertai mana-mana parti.


Namun daripada sumber Pokok Sena, PAS dikatakan masih utuh di kawasan itu walaupun Mahfuz meninggal PAS pada penghujung tahun lepas.  - Kedahnews.com