Mahkamah Alor Setar Bebaskan Pengarah JPS Dengan Jaminan RM100,000


ALOR SETAR – Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Rendah Alor Setar Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim  membenarkan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa pada 29 Jan lepas, dibebaskan hari ini.

Tertuduh dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah berumur 60 tahun itu dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, berita melaporkan pengarah tersebut direman selama 13 hari mulai 30 Jan hingga 11 Feb.

Sementara dua pemilik syarikat berumur 39 dan 50 tahun turut sama direman bersama pengarah terbabit dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM15,000 (deposit) dengan seorang penjamin pada 5 Feb lepas.

Pada 29 Jan lalu, SPRM menahan seorang pengarah JPS berumur 60 tahun bersama pemilik dua syarikat berumur 39 dan 50 tahun di sebuah pejabat SPRM.

Selain itu, SPRM turut menyita akaun bank berjumlah RM2.9 juta dan merampas wang tunai hampir RM900,000 di rumah seorang pemilik syarikat yang ditahan itu. - Kedahnews.com