ALOR SETAR – Tempoh reman seorang pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dilanjutkan enam hari mulai esok (6 Feb) hingga Ahad.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Alor Setar Nor Azah Idris membenarkan perintah sambung reman terhadap pengarah berumur 60 tahun itu setelah tempoh reman sejak 30 Jan lepas berakhir hari ini.
Sementara itu, dua pemilik syarikat berumur 39 dan 50 tahun yang ditahan reman bersama pengarah terbabit telah dilepaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM15,000 (deposit) dengan seorang penjamin.
Pada 29 Jan lalu, SPRM dilaporkan menahan seorang pengarah JPS berumur 60 tahun bersama pemilik dua buah syarikat berumur 39 dan 50 tahun di sebuah pejabat SPRM.
SPRM turut menyita akaun bank berjumlah RM2.9 juta dan merampas wang tunai berjumlah hampir RM900,000 di rumah seorang pemilik syarikat yang ditahan itu. – Bernama