Mai Makan Kenduri Dapat Beras 5 Kilogram


PASIR PUTEH: Tetamu pada majlis perkahwinan Mohd Nasruddin Azmi dan pasangannya, Nor Suhaida Mohamad di Taman Sri Lichong, Gaal, di sini, terkejut kerana menerima cenderahati yang lain daripada biasa, iaitu sekampit beras lima kilogram.

Kelainan itu dikatakan menjadi punca majlis perkahwinan itu diserbu tetamu sehingga menyebabkan jalan untuk ke rumah pengantin mengalami kesesakan sejauh dua kilometer.

Bapa pengantin lelaki, Azmi Mohd Noor berkata, berkata dia menyediakan sebanyak 7,000 kampit beras untuk diagihkan kepada semua tetamu yang hadir sebagai buah tangan.

Malah katanya, majlis meraikan anak sulung daripada tiga beradik itu menyediakan 17 gulai kawah membabitkan lima ekor lembu, tujuh ekor kambing dan 500 ayam yang semuanya dimasak secara bergotong-royong oleh penduduk kampung seawal jam 6 pagi.

"Alhamdulillah majlis menyambut menantu berjalan lancar dan kediaman kami dipenuhi dengan tetamu yang hadir. Kami memberi beras kepada semua tetamu bagi menghargai mereka yang datang selain untuk beramal.

"Saya datang daripada keluarga yang susah dan penduduk kampung banyak membantu kedua ibu bapa saya. Jadi, hari ini saya seperti mahu membalas jasa orang kampung dan tetamu yang hadir," katanya ketika ditemui.

Azmi yang juga Pengerusi Yayasan Fatimah Azzahra berkata, pada majlis meraikan anak sulungnya berusia 25 tahun itu, dia menjemput seramai 7,000 tetamu termasuk kenalan rapat.

"Memandangkan bukan selalu saya mengadakan kenduri, kali ini saya membuat majlis besar-besaran bagi meraikan semua yang hadir. Apa yang saya lakukan ini bukan untuk meraih populariti, sebaliknya hanya mahu meraikan tetamu.

"Saya bersyukur kerana majlis pertama kali dirancang berjalan lancar tanpa masalah. Malah saya lihat semua mereka yang menerima beras tersenyum gembira," katanya.

Sumber: BH