BAYANGKAN jika pelamin yang anda hasilkan dengan penuh teliti akhirnya dibuka dan dibiarkan bersepah begitu sahaja.
Itulah nasib yang menimpa seorang pengusaha butik pengantin, Azima Sanusi, yang terkejut melihat pelamin yang pada asalnya dihias indah akhirnya 'telanjang' di atas tanah.
Azima, 31, mendakwa semuanya berlaku gara-gara kanopi yang disewa untuk majlis resepsi pelanggannya di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, dibuka terlebih dahulu tanpa menunggu ketibaannya di rumah pengantin.
Tidak puas hati dengan tindakan tersebut, wanita ini melepaskan geramnya di media sosial sambil menyifatkan pemilik kanopi tersebut tidak beradab dan tidak sabar.
Azima, ketika dihubungi mStar Online mengakui menerima kiriman WhatsApp daripada pengantin pada malam Ahad, memaklumkan hasrat pihak kanopi untuk membuka khemah mereka pada pagi Isnin.
Dia yang maklum tentang perkara itu bagaimanapun tiba lewat sejam pada keesokan harinya.
"Sebenarnya sudah set untuk buka sama-sama dalam pukul 9 pagi. Saya lewat dalam sejam sahaja, sampai kat sana khemah dah dibuka.
"Perasaan saya masa tu tak boleh digambarkan. Kecewa, marah, semua ada. Bukannya lama sangat, dalam sejam sahaja saya lewat.
"Sepatutnya tak jadi begini, kena hormati perasaan keluarga pengantin. Malu kalau orang tengok pelamin bersepah macam tu, nanti orang salahkan mak andam," katanya.
Tambahnya lagi, pekerja yang menguruskan kanopi berkenaan masih berada di rumah pengantin sewaktu ketibaannya, namun mereka langsung tidak 'bersuara'.
Posting berkenaan menerima 8,000 tanda suka, dikongsi lebih 1,500 kali oleh netizen dan mendapat hampir 2,000 komen.
Dalam pada itu, perkongsian berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.
"Tak patut buat macam tu, macam mana kalau hujan? Bertolak ansur sikit, mungkin orang khemah tu cemburu sebab tak ambik pakej pelamin mereka," tulis Adek Adeklara.
"Tak boleh jugak nak salahkan orang kanopi, mungkin dia urgent nak pakai kanopi tu kat majlis lain pula. Jangan sampai kesibukan kita menggangu masa kerja orang lain," tulis seorang lagi pengguna Facebook.
Menurut Azima yang sudah sembilan tahun mengusahakan butik pengantin, dia tidak mempunyai nombor telefon pihak kanopi berkenaan dan tidak pernah dihubungi mereka sejak kes ini tular di Facebook.
Namun, dia yang mempunyai dua butik di Batu Pahat dan Johor Bahru memilih untuk tidak memanjangkan kes ini walaupun ia sudah tular.
Sumber: Mstar Online