'Mak Guard' Cedera Dipukul Sekumpulan Lelaki Di Georgetown


GEORGETOWN - Seorang pengawal keselamatan wanita cedera selepas ditendang dan ditampar sekumpulan lelaki ketika bertugas di Kondominium Tanjung Court, Bandar Baru Ayer Itam, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam Khamis lalu, wanita tersebut tidak membenarkan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki masuk ke kawasan kondominium tersebut kerana tidak mempunyai kad akses selain bukan penduduk di situ.

Pengawal keselamata itu kemudiannya arahkan pemandu tersebut mengundur kenderaannya namun lelaki tersebut enggan lalu memarahi dan memaki hamun wanita terbabit.

Selepas kejadian itu, datang beberapa orang lelaki lalu menolak, memukul, menendang dan menampar wanita itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar  berkata, dua suspek yang memukul mangsa ditahan dan dirakam percakapan.

“Suspek merupakan anak kepada penghuni kondominium  yang datang untuk menziarahi bapanya. Mangsa pula akui buat provokasi terhadap suspek ketika suspek mahu masuk ke kawasan kondominium tersebut.

“Setelah berbincang dengan majikan mangsa, kes diselesaikan secara baik dan mangsa  tarik balik laporan yang dibuat pada Jumaat lalu,” katanya.

Anuar berkata, kes kini diklasifikasikan sebagai selesai dan mangsa berpuas hati setelah mendapat pampasan sebanyak RM200 daripada suspek.

“Isu dan kes ini dianggap selesai dan tidak perlu diperbesarkan,” katanya.

Sumber:Sinar Online