ARTIKEL ini adalah sambungan kepada artikel minggu lepas berjudul ‘Makan Tanpa Berfikir Panjang - Punca dan Cara Mengelaknya.’ Berikut ialah perkara-perkara lain yang boleh anda lakukan untuk mengelakkan daripada makan tanpa berfikir panjang.
Tingkatkan kesukaran
Semakin banyak kerja untuk makan sesuatu makanan akan menyebabkan anda semakin kurang berminat untuk memakannya.
Untuk membuktikan fenomena tersebut saintis telah menjalankan kajian versi baru yang melibatkan gula-gula Hershey’s Kisses. Kali ini semua setiausaha diberi mangkuk-mangkuk bertutup lutsinar berisi gula-gula.
Mangkuk-mangkuk tersebut diletakkan di tiga tempat berbeza di dalam pejabat: di atas meja, dalam laci meja atau enam kaki (lebih kurang 1.8 meter) dari meja.
Semua setiausaha makan gula-gula tersebut pada kadar 9 biji sehari dari mangkuk yang berada di atas meja, 6 biji jika mangkuk berada dalam laci dan 4 biji jika mereka terpaksa berjalan untuk mendapatkan mangkuk.
Perserta makan sedikit apabila mangkuk berada jauh kerana pertambahan jarak menyebabkan mereka berfikir dua kali untuk makan gula-gula.
Cadangan: Anda boleh amalkan kaedah serupa iaitu meletakkan snek yang anda suka jauh dari anda. Sudah tentu cara terbaik ialah langsung tidak membeli snek yang tidak berfaedah kepada kesihatan yang biasanya tinggi kandungan gula di samping mengandungi pewarna dan perisa tiruan.
Makan perlahan-lahan
Kajian mendapati orang yang makan perlahan-lahan berasa lebih kenyang dan makanan yang dimakan dirasakan lebih lazat berbanding dengan yang dialami oleh orang yang makan laju-laju.
Saintis percaya bahawa mengambil masa sekurang-kurangnya 20 hingga 30 minit untuk menghabiskan makanan akan menyebabkan tubuh memerlukan masa lebih lama untuk merembes hormon yang memberi isyarat rasa kenyang.
Masa makan yang panjang menyebabkan otak mengesan anda telah makan secukupnya sebelum anda memulakan hidangan kedua.
Cadangan: Jika anda seorang yang memang biasa makan laju-laju maka belajar bersabar dengan berusaha mengunyah makanan secara perlahan-lahan yang dipercayai akan membantu anda mengurangkan makan melebihi kuantiti yang diperlukan tubuh.
Hindari gangguan
Makan ketika sedang mengalami gangguan oleh elemen persekitaran tertentu menyebabkan anda makan lebih pantas, kurang berasa kenyang dan mudah makan lebih banyak tanpa berfikir panjang.
Kajian-kajian mendapati menonton televisyen, mendengar radio atau bermain komputer adalah contoh gangguan elemen persekitaran.
Misalnya seseorang yang menonton televisyen ketika sedang makan didapati makan pizza dan makaroni dan keju masing-masing 36 dan 71 peratus lebih tinggi.
Selain itu semakin lama sesuatu paparan ditonton maka semakin banyak makanan yang anda akan makan. Sebuah kajian mendapati para peserta kajian yang menonton sebuah paparan sepanjang 60 minit telah makan lebih banyak bertih jagung iaitu 28 peratus lebih tinggi berbanding dengan mereka yang hanya menonton paparan 30 minit.
Kajian mendapati kesan ini berlaku sama sahaja pada kedua-dua makanan iaitu makanan bernutrien dan makanan remeh.
Saintis juga mendapati semakin panjang tempoh pendedahan kepada gangguan elemen persekitaran maka semakin bertambah tempoh makan. Ia menyebabkan anda terdedah kepada makan secara berlebihan.
Selain itu kajian manunjukkan makan ketika mengalami gangguan elemen persekitaran menyebabkan anda lupa berapa banyak anda telah makan. Ia juga boleh menyebabkan anda makan secara berlebihan selang tidak berapa kama kemudian.
Cadangan: Guna masa makan sepenuhnya untuk makan kerana ia akan membantu anda berasa mudah kenyang berbanding dengan makan sambil menonton televisyen atau leka bermain komputer atau telefon pintar.
Pilih pasangan
Kajian mendapati makan bersama seseorang akan menyebabkan anda makan 35 peratus lebih banyak berbanding jika anda makan bersendirian.
Makan secara berkumpulan sekurang-kurangnya terdiri daripada tujuh orang pula meningkatkan jumlah makanan yang anda makan sebanyak 96 peratus.
Kajian juga mendapati jika anda ditemani oleh rakan-rakan yang makan perlahan-lahan maka anda secara automatik juga akan meniru tingkah laku rakan-rakan iaitu anda juga akan makan perlahan-lahan.
Cadangan: Untuk mengelakkan makan berlebihan ketika makan secara berkumpulan anda harus tetapkan pendirian memilih makanan tertentu sahaja untuk dimakan atau tetapkan had setiap makanan yang akan dimakan. Minta pelayan mengambil pinggan anda apabila anda dapati telah sampai masa anda berhenti makan. Makan di kelilingi oleh orang yang makan perlahan-lahan juga akan membantu anda untuk meniru tindakan mereka.
Bergantung kepada isyarat dalaman bagi menentukan masa untuk makan
Bergantung kepada isyarat luar misalnya dengan menggunakan jam untuk makan dikatakan boleh menyebabkan anda makan berlebihan. Sebaliknya tumpukan perhatian kepada isyarat dalaman iaitu tanya diri sama ada anda harus makan apabila sampai waktu makan.
Berhati-hati terhadap ‘makanan sihat’
Ramai yang terjebak mengambil makanan dilabel sebagai makanan sihat yang boleh menyebabkan mereka makan secara berlebihan tanpa berfikir panjang. Granola ‘rendah lemak’ misalnya sebenarnya hanya 10 peratus lebih rendah daripada segi kalori berbanding granola biasa. Kajian mendapati para peserta makan granola ‘rendah lemak’ 49 peratus lebih tinggi.
Elakkan menyimpan banyak stok
Kajian menunjukkan membeli barang secara pukal dan menyimpan banyak stok akan menyebabkan anda makan lebih banyak. Jadikan amalan membeli makanan yang diperlukan sahaja, mencukupi untuk disimpan pada tempoh tertentu.
Pilih makanan mudah mengenyangkan
Makanan seperti makan nasi daripada beras tidak ceruh (beras perang) bersama makanan berprotein, berlemak sihat dan tinggi fiber akan membantu anda mudah kenyang.
Sumber: Sinar Online