PUTRAJAYA – Buat julung kali selepas empat tahun, jutaan penduduk Malaysia bakal merasai fenomena ekuinoks pertama tahun ini pada 21 Mac pukul 12.15 tengah malam waktu tempatan.
Ini kerana kali terakhir kedudukan Matahari pernah direkodkan berada tepat di atas garisan Khatulistiwa planet Bumi ketika masa dianggap cukup unik tersebut ialah pada 21 Mac 2014 lalu iaitu pukul 12.57 tengah malam.
Tahun lepas, ekuinoks pertama sebagai tanda permulaan musim bunga di Hemisfera Utara dan musim luruh di Hemisfera Selatan berlaku pukul 6.28 petang manakala 2016 pukul 12.30 tengah hari dan 2015 pukul 6.45 pagi.
Di negara ini, fenomena itu amat dinantikan peminat astronomi dan ramai mengambil kesempatan melakukan uji kaji dengan telur yang dikatakan boleh berdiri sendiri ketika ekuinoks akibat tarikan kuat titik graviti di darat.
Malaysia yang kedudukan geografinya secara kebetulan terletak tidak jauh dari Khatulistiwa lazimnya mengalami fenomena ekuinoks tersebut sebanyak dua kali dalam setahun iaitu setiap 20 atau 21 Mac dan juga 23 September.
Ekuinoks pada 23 September ialah permulaan musim luruh di Hemisfera Utara dan musim bunga di Hemisfera Selatan. Negara-negara di kawasan hemisfera itu mengalami empat musim iaitu panas, bunga, luruh dan sejuk.
Bagaimanapun bagi negara beriklim tropika yang menerima sinaran suria secara penuh sepanjang tahun, ia mungkin tidak merasai sangat perbezaan tempoh panjang siang dan malam ini berbanding negara empat musim.
Ekuinoks merupakan kejadian astronomi tahunan apabila Matahari akan berada di atas garis Khatulistiwa serta menyebabkan jumlah masa bagi waktu siang dan malam di seluruh dunia bakal menjadi sama iaitu 12 jam sehari.
Semasa fenomena alamiah ini berlaku, ada kemungkinan suhu udara permukaan darat bertambah sedikit, namun peningkatan berkenaan adalah tidak signifikan dan amat jarang akan menyebabkan situasi gelombang haba panas.
Bahkan berdasarkan data suhu telah dikumpulkan oleh pihak Jabatan Meteorologi Malaysia, tiada rekod mengenai kenaikan secara signifikan suhu udara permukaan ketika fenomena ekuinoks sama ada yang pertama atau kedua.
Istilah ekuinoks berasal daripada perkataan Latin bermaksud “malam yang sama”. Secara saintifik semasa berlaku, paksi Bumi condong 23.4° sepanjang mengorbit Matahari, sekali gus Hemisfera Utara dan Selatan senget sedikit.
Sewaktu ekuinoks, cahaya Matahari boleh dikatakan serenjang dengan garisan Khatulistiwa Bumi. Hemisfera Utara akan menerima paling banyak sinaran Matahari selepas 20 Mac dan sebaliknya pula berlaku setelah 23 September.
Menurut kajian Balai Cerap Tentera Laut Amerika Syarikat, ekuinoks semasa 21 Mac tahun depan dijangka berlaku di Malaysia pukul 5.58 pagi manakala fenomena sama pada 2020 pula 11.50 pagi. – Agensi