PETALING JAYA - Adat hidup berjiran memerlukan setiap individu untuk saling memahami dan bertolak ansur bagi memelihara keharmonian tetangga.
Jika terdapat perselisihan faham, sebaiknya masalah yang timbul diselesaikan melalui perbincangan secara rasional dan bukannya mengaibkan mana-mana pihak.
Tindakan seorang individu merakam jirannya menegur perbuatannya masak di luar rumah sehingga menyebabkan bau masakan itu masuk ke rumah jiran telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Perakam video yang tidak dikenali itu mempertahankan dirinya bahawa bau tersebut dibawa oleh angin dan dia sudah memasang kipas untuk menghalakan aroma masakan itu ke arah lain.
Namun, tindakannya itu memakan diri apabila rata-rata netizen memihak kepada jirannya kerana beranggapan bahawa orang sebelah itu berhak menegur kerana bau masakan itu menusuk hidung orang lain.
"Kenapa akak tu tak masak dalam dapur rumah? Aku cakap sebab aku pun mengalami perkara yang sama.
"Cuma tak adalah nak kecoh-kecoh. Sekarang yang kecoh ni lebih kepada pihak makcik tu...siap rakam dan viral kenapa?," tulis seorang netizen, Kamarul.
Seorang lagi netizen, Haiqal Mior berkata: "Bau satu hal, ni dengan bunyi kuali... tu belum tumbuk sambal belacan... mana dengan mesin pengisar lagi.
"Api pulak menyambar macam dekat kedai tom yam... manalah tidak 'hot' dan 'spicy' jiran tu," tulisnya.
Sementera itu, terdapat juga netizen yang memihak kepada si perakam dan mendakwa lelaki yang menegur itu tidak mempunyai semangat kejiranan.
"Suruhlah dia duduk dalam gua, biar makan kayu je. Tak ada semangat kejiranan langsung.
"Kita ni hari-hari hadap jiran beragama lain, bau mereka sembahyang. Tenang sahaja, tiada apa yang nak dibisingkan. Mereka faham kita, kita faham mereka," ujar Aiynn Darel.
mStar Online mendapatkan pandangan ahli Persatuan Ulama Sedunia, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor mengenai adab berjiran yang disarankan dalam Islam agar kejadian seperti itu dapat dielakkan.
"Mereka sepatutnya selesai sama jiran dan tidak perlu hebahkan kepada orang lain, apatah lagi sampai jadi tular.
"Kalau nak masak (di luar rumah) sehingga baunya masuk ke rumah jiran, kena minta izin daripada jiran tersebut," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Tambah Ahmad Fauwaz, perbuatan merakam dengan tujuan memalukan individu lain adalah dilarang oleh agama.
Sumber: Mstar Online