TASEK GELUGOR: Buat pertama kalinya, masjid jamek di sini menganjurkan rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina bagi meraikan masyarakat Tionghua yang tinggal di kawasan sekitarnya.
Walaupun majlis anjuran Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Tasek Gelugor itu ringkas dan sederhana, sambutannya tetap meriah apabila dihadiri masyarakat berbilang bangsa.
Penyelia kilang, Tan Chooi Teit, 51, berkata dia gembira sebaik menerima jemputan daripada pengurusan masjid yang menganjurkan program untuk meraikan perayaan kaumnya.
Katanya, jemputan itu amat bermakna bagi dirinya yang gemar melihat seni bina masjid kerana keunikannya, namun tidak berpeluang mengunjunginya kerana bimbang tidak dibenarkan masuk ke kawasan bangunan berkenaan.
"Sudah lama saya mahu masuk perkarangan masjid untuk melihat seni binanya, namun teragak-agak sama ada boleh masuk atau tidak kerana tidak mahu ada isu yang berbangkit kelak.
"Apabila mendapat jemputan ini, saya begitu terharu dan tidak sangka akhirnya dapat melihat suasana yang tidak pernah dirasai sebelum ini apatah lagi saya diraikan dengan cukup mesra," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Jurulatih kecergasan, Ooi Chooi Beng, 36, berkata keunikan masjid mendorong dirinya mendekati agama Islam hingga mengambil langkah memeluk agama suci itu lima bulan lalu.
"Sebelum memeluk Islam, saya menganggap masjid hanya untuk orang Muslim sahaja dan tidak berani menghampirinya walaupun teringin sangat untuk masuk.
"Menyedari fungsi masjid begitu luas, secara tidak sedar saya mula mempelajari mengenai Islam dan terus memeluk agama ini bersama keluarga selepas tertarik dengan ajaran yang membawa manusia menuju ke arah kebaikan," katanya.
Jelasnya, inisiatif yang diambil pengurusan masjid dalam menganjurkan program dengan meraikan bukan Muslim patut dicontohi serta diperbanyakkan pada masa akan datang berikutan manfaatnya yang begitu luas serta menyekat salah faham terhadap institusi masjid.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Jamek Tasek Gelugor, Khairul Anuar Musa, berkata penganjuran program berkenaan adalah satu bentuk dakwah yang cuba ditekankan pihaknya dalam usaha membuka minda bahawa tempat beribadat itu bukan untuk umat Islam semata-mata.
"Masjid boleh dijadikan sebagai tempat perhimpunan masyarakat berbilang kaum dan agama, selagi ia tidak bercanggah serta bertentangan dengan syariat Islam.
"Penganjuran program seperti ini selagi ia berlangsung dalam keadaan baik dan mengikut ajaran maka tidak menjadi masalah bahkan mewawarkan serta berkongsi mengenai keindahan agama Islam kepada kaum dan agama lain," katanya.
Sumber: BH