Masjid Syed Alwi Dibina Campuran Putih Telur, Pasir


KANGAR – Keunikan Masjid Alwi di sini bukan sahaja terletak pada keindahan seni binanya yang mempunyai ciri-ciri Mogul tetapi juga penggunaan bahan utama dalam pembinaan masjid iaitu campuran putih telur dan pasir.

Justeru, tidak hairanlah masjid berkenaan yang diwartakan sebagai Tapak Warisan Negara awal bulan ini mengambil masa hampir tiga tahun untuk disiapkan kerana bukan mudah mahu mendapatkan kuantiti telur yang banyak bagi membina satu struktur yang pada ketika itu mampu menampung 500 jemaah pada satu-satu masa.

“Sukar untuk kita bayangkan betapa banyaknya telur diperlukan untuk menyiapakn sebuah masjid ini, tapi pada masa itu tiada pilihan kerana tidak ada simen yang berperanan sebagai bahan pelekat,” kata Anggota Jawatankuasa Masjid Alwi, Abu Bakar Ariffin kepada Bernama, di sini semalam.

Katanya masjid itu dibina pada 1931 dan siap pada 1933 sebelum dirasmikan oleh Raja Perlis Raja Syed Alwi Almarhum Tuan Syed Safi Jamalullail pada Februari tahun sama.

Beliau berkata walaupun tidak menggunakan simen atau konkrit berteknologi tinggi, struktur bangunan masjid berkenaan sangat kukuh dan tahan gegaran.

“Itu yang kita hairan, macam mana campuran putih telur dan pasir boleh jadi sekukuh ini, namun inilah keistimewaan seni bina zaman dahulu, ia dibina dengan teliti dan tahan lasak,” katanya.

Menurut Abu Bakar pembinaan masjid berkenaan juga tidak melibatkan tukang atau orang tempatan, sebaliknya sekumpulan jurubina dan buruh dibawa khas dari India.

Difahamkan pihak British pada masa itu turut terlibat dengan penyediaan reka bentuk masjid dan mendapat ilham daripada seni bina Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang, katanya.

“Sebab itu Masjid Alwi ini nampak hampir sama dengan Masjid Kapitan Keling terutama di bahagian kubah yang dibuat daripada tembaga,” katanya.

Abu Bakar berkata mercu tanda utama Perlis itu dibina dengan kos keseluruhan RM64,684, hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk kutipan zakat, pegawai kerajaan dan ahli perniagaan Islam serta peruntukan daripada kerajaan negeri.

“Jumlah itu boleh dikatakan sangat besar pada waktu itu dan lebih menarik ia adalah sumbangan daripada pelbagai pihak yang senarai mereka diabadikan pada dinding masjid sebagai tanda penghargaan dan kenangan,” katanya.

Sementara itu, Imam Masjid Alwi, Mohd Shahril Mohd Shukri berkata masjid berkenaan sering menganjurkan program dakwah yang mengumpulkan ramai ulama dan ilmuwan dari dalam dan luar negara.

“Satu ketika dahulu, Masjid Alwi pernah menjadi tempat perhimpunan ulama serta ilmuwan tempatan dan Indonesia. Hamka dan Zaaba turut hadir pada perhimpunan berkenaan,” katanya.

Kehadiran jemaah juga sentiasa memberangsangkan setiap hari dan kuliah agama diadakan setiap malam sebagai pengisian rohani para jemaah, katanya. – Bernama