MB Kedah Enggan Layan Serangan Peribadi, Mahu Beri Tumpuan Pada Negeri


Tanpa mempedulikan serangan peribadi yang dilakukan oleh pemimpin pembangkang, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bertekad untuk memikul  tugas yang diamanahkan kepadanya. 

Beliau kini tidak mempunyai masa untuk melayan segala tuduhan dan fitnah yang disasarkan kepadanya selepas mengambil alih tugas Menteri Besar lebih dua tahun lalu.

Dalam temubual khas dengan Bernama semalam, Ahmad Bashah menegaskan baginya ialah membawa masa depan rakyat dan negeri Kedah ke ara yang lebih baik daripada dahulu.. 

"Biarlah mereka.... selagi ia tidak mengganggu tugas saya sebagai Menteri Besar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi BN negeri dalam menghadapi PRU14 (pilihan raya umum ke-14)," jelas beliau berhubung pelbagai dakwaan negatif terhadapnya sebagai Menteri Besar Kedah sejak memegang jawatan itu dua tahun lalu.

Namun kata Ahmad Bashah beliau  tidak akan melayan apa-apa tuduhan atau serangan peribadi terhadapnya.

"Itu bukan tugas saya nak jawab semua tohmahan. Apa sahaja cerita, fitnah saya tidak kisah, yang penting saya nak bawa masa depan Kedah," tegas  Ahmad Bashah  yang saban hari amat sibuk dengan rasmi kerajaan dan politik.

Katanya Ahmad Bashah pelbagai dakwaan terutama yang dibawa oleh pembangkang adalah tidak tepat kerana mereka hanya mahu mengelirukan rakyat dengan tuduhan yang direka-reka dan fitnah.

Beliau mengingatkan rakyat membuat penilaian yang teliti terhadap cakap-cakap pembangkang, sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya dan kemudian menilai kerja-kerja yang kerajaan laksanakan.

Ahmad Bashah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah pada 4 Feb 2016, selepas Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletakkan jawatan setelah hilang sokongan majoriti di DUN.

Beliau adalah antara ADUN yang paling kanan daripada UMNO  negeri  apabila menjadi ADUN Bakar Bata (dahulu Alor Merah) untuk lima penggal sejak 1995. 

Bernah menjadi Exco kerajaan negeri selama dua penggal sejak 1999 hingga 2008 dan dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna semasa Mukhriz dilantik Menteri Besar.

Menurut Ahmad Bashah tumpuan kerajaan negeri hanya kepada rakyat kerana UMNO dan BN Kedah pernah mengalami pengalaman pahit apabila tewas pada PRU 2008 dan hilang kuasa sebagai kerajaan negeri, dan kerana itu mereka mahu memastikan peristiwa seperti itu tidak berulang pada PRU kali ini.

"Saya pesan dah dua tiga kali (kepada pimpinan UMNO dan BN), PRU 2008 dulu kita kalah, kita pernah mengalami kekalahan, bagaimana rasa jadi pembangkang di Kedah.

Jadi jangan ulang perkara yang merugikan kita dan menyusahkan rakyat negeri ini," katanya.

Beliau berkata selepas BN memenangi kembali Kedah pada 2013, harapan rakyat terhadap BN adalah tinggi tetapi semuanya memerlukan perancangan jangka masa panjang untuk dilaksanakan.

"Jangan nafikan apa (usaha untuk rakyat) yang kita buat, tapi ada yang cuba kelirukan rakyat dia kata tak buat apa. Saya nak habaq (beritahu) ada projek sudah 'take off' (dimulakan), ada yang sudah dirancang dan dilaksanakan, kita nak supaya depa (mereka) sekali lagi beri kepercayaan (pada PRU14)," katanya. - Kedahnews.com