Melaka Pertama Di Malaysia Guna Dron ‘Buru’ Nyamuk


UNIK… Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah menjadi pusat kesihatan pertama di negara ini yang menggunakan pesawat kawalan jauh atau ‘dron’ bagi mengesan tempat pembiakan nyamuk.

Penggunaan pesawat mini tanpa pemandu itu memudahkan dan mempercepatkan usaha pengesanan jentik-jentik, terutama di kawasan bangunan tinggi sekali gus mengurangkan masa anggota penguatkuasaan pejabat tersebut.

Pengarah Kesihatan Melaka, Datuk Dr. Ghazali Othman, berkata dengan dron, pasukan kesihatan yang melakukan pemeriksaan dapat memastikan semua lokasi yang diperiksa adalah bebas daripada pembiakan jentik-jentik.

“Sebelum ini, kita menyewa gondola skylift untuk memeriksa di tempat tinggi seperti pangsapuri dan rumah kedai. Dron ini membolehkan pemeriksaan dilakukan dengan lebih cepat dan berkesan, selain menjimatkan kos operasi.

“Dron ini berkemampuan memeriksa tempat pembiakan jentik-jentik pada ketinggian sehingga 200 meter, sebelum lokasi yang dikesan itu kemudian diletakkan bahan pembasmi larva nyamuk seperti Abate,” kata Dr. Ghazali.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Skuad Drone Pengesan Jentik-Jentik di Kolej Perubatan Manipal Melaka, Padang Jambu. Turut hadir ialah Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Dr. Rusdi Abd. Rahman.

Dron bernilai kira-kira RM2,000 itu turut diubah suai dengan dilengkapi alat khas untuk meletakkan Abate di kawasan tinggi yang sudah dikenal pasti pihak penguatkuasaan menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.

Untuk tugas kawalan nyamuk, pesawat berkenaan turut dilengkapi dengan kamera pengesan keadaan topografi kawasan wabak denggi, selain menunjukkan di mana nyamuk dewasa betina bertelur.

Sementara itu, mengulas mengenai kes denggi di negeri ini, Dr Ghazali berkata, sepanjang tempoh lima minggu pertama mencatatkan penurunan sebanyak 72 kes, berbanding 248 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Enam kawasan panas dikenal pasti kawasan wabak denggi di Melaka iaitu di Taman Merdeka Jaya, Taman Saujana Seksyen Tiga Bukit Katil, Taman Melaka Baru dan Pangsapuri Kota Laksamana.- Kedahnews.com