Mengimbau Kembali Tragedi Pondok Pak Ya, 1989 Di Yan Kedah


Saat ini pasti ramai masyarakat yang sedih dan bersimpati terhadap tragedi yang baru menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyah di Jalan Keramat Ujung pada 14/9/2017 yang lalu. Tragedi ini telah mengorbankan seramai 23 orang yang terdiri daripada 21 pelajar dan 2 orang ustaz. Tragedi tersebut telah mengingatkan kita terhadap peristiwa yang hampir sama berlaku terhadap Pondok Pak Ya di Yan Kedah pada tahun 1989. 

Peristiwa kebakaran yang pernah menggemparkan negara pada suatu ketika dahulu telah meragut nyawa 27 orang pelajar puteri di Sek. Men (A) Taufikiah Khairiah Al-Halimiah. Kebakaran yang berlaku pada malam 22 september tersebut masih segar lagi dalam ingatan ibu bapa mangsa, guru-guru dan rakan-rakan mangsa yang terselamat. Sungguh menyayat hati peristiwa tersebut jika diimbau kembali. 


Menurut rakan-rakan mangsa yang terselamat punca kebakaran yang berlaku di asrama puteri adalah disebabkan oleh lilin. Pada malam tersebut selesai sahaja solat isyak di surau ada para pelajar yang duduk di dalam surau kerana malam itu mereka ada qiamullai dan kebanyakkannya pulang ke asrama puteri. Tiada apa yang mencurigakan pada waktu tersebut semuanya berjalan seperti biasa. 


Namun, beberapa mangsa yang terkorban dalam kejadian tersebut menunjukkan tanda-tanda yang aneh dan pelik. Pada malam tersebut terdapat sekumpulan para pelajar perempuan berkumpul di bawah untuk mengulang kaji pelajaran kerana peperiksaan sudah semakin hampir. Mengikut waktu yang telah ditetapkan semua pelajar harus tidur kerana nanti mereka akan bangun untuk qiamullai. 


Namun, ada beberapa orang pelajar yang masih gigih mengulangkaji pelajaran pada waktu tersebut. Mereka memasang lilin selepas pengetua sekolah asrama tersebut berlalu pergi. Setelah penat mengulang kaji pelajaran mereka tertidur dan secara tiba-tiba api lilin menyambar langsir asrama. Setelah api semakin marak barulah beberapa pelajar terjaga. Mereka semua sangat panik dan menjerit katakutan. 

Semua pelajar lari menyelamatkan diri dan ada diantaranya tidak sempat melarikan diri kerana tersekat oleh api yang semakin marak. Api yang marak tersebut dikatakan berpunca daripada letupan daripada tong gas. Terdapat juga beberapa pelajar yang telah terselamat namun masuk semula untuk menyelamatkan rakan-rakan mereka dan ada seorang pelajar yang ingin menyelamatkan al-Quran. 


Akhirnya mereka terperangkap di dalam bangunan tersebut dan tidak dapat keluar. Mayat mereka sungguh menyayat hati ada yang berpelukan antara satu sama lain dan ada juga yang sedang memeluk al-Quran. Menurut pelajar yang terselamat iaitu Kak Maznah yang mengalami kecederaan yang serius akibat 46% peratus badannya melecur teruk disebabkan kebakaran tersebut. 

Katanya lagi dia cuba menyelamatkan rakan-rakannya yang lain, namun salah seorang daripadanya telah kaku dan tidak sedarkan diri. Selain itu, Kak Syazlina yang mengalami kecederaan melecur di kedua-dua tapak tangan dan kaki serta di beberapa anggota badan yang lain turut berkongsi pengalamnya. 


Kak Syzalina berkata, dia bergelut dalam kepanasan api yang membahang dalam 15 minit sebelum dapat keluar daripada bangunan tersebut. Sehingga sekarang kejadian tersebut masih sedar dalam ingatannya. Ramai masyarakat yang masih tidak mengetahui mengenai peristiwa tersebut kerana pada masa itu tidak ada media sosial yang dapat menyebarkan berita tersebut. 

Oleh itu pihak pentadbiran sekolah dengan kerjasama barisan Alumni telah merancang satu majlis untuk memperingati peristiwa tersebut sekaligus menceritakan kembali kejadian tersebut kepada masyarakat. Tragedi ini juga telah difilemkan dengan tajuk Pondok Pak Ya. Semoga ianya menjadi iktibar buat kita semua.