Mentaliti Kuno Punca Bola Sepak Malaysia Tak Maju


KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak bersetuju andai Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) ingin mengambil tindakan memotong mata kepada pasukan yang tidak melengkapkan dokumen pendaftaran untuk bertanding dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) berkata, tindakan tegas FMLLP itu hanya akan mengundang spekulasi buruk beliau atau JDT mahu mengkhianati pasukan lain.

"Saya sudah dimaklumkan FMLLP akan memotong mata dan memberikan hukuman kepada persatuan yang tidak melengkapkan dokumen pendaftaran pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.

"Saya memahami tindakan FMLLP ini untuk memastikan liga ini berjalan secara profesional dan mahu menunjukkan kepada penaja yang terdapat permintaan tinggi untuk menjadikan liga ini profesional.

"Bagaimanapun saya tidak bersetuju dengan tindakan itu kerana ia akan mewujudkan spekulasi daripada mereka yang kurang bijak dan mengatakan saya atau Kelab JDT ingin mensabotaj pasukan lain yang sedang berada di puncak liga kononnya," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers, semalam.

FMLLP hari ini mendedahkan, empat pasukan Liga Super, Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC gagal melengkapkan dokumen pendaftaran mengikut tarikh yang ditetapkan.

Sementara empat pasukan Liga Perdana masih tidak melengkapkan dokumen pendaftaran iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA dan PDRM manakala MIFA serta UKM FC melepasi tarikh akhir 3 Februari lalu.

Tunku Ismail berkata, masalah yang berlaku itu mencerminkan sebab sebenar kenapa bola sepak tanah air tidak boleh berkembang maju.

"FMLLP tidak perlu mengambil tindakan atau memotong mata pasukan terbabit dan sebaliknya biarkan saja mereka terus bertanding dalam Liga Malaysia ini.

"Biarkan penaja kita yang sudah mengeluarkan beratus-ratus juta ringgit melihat sendiri kenapa liga kita tidak boleh berkembang. Bukan saja mengenai persatuan yang tidak profesional tapi juga mentaliti penyokong bola sepak tanah air.

"Walaupun informasi, 'timeline', penerangan berkait cara keputusan dibuat dan dokumen diperlukan sudah dikongsikan pihak FMLLP tapi penyokong bola sepak tanah air masih tidak faham lagi, saya hanya boleh ucapkan selamat maju jaya.

"Akhir sekali, saya sebagai Presiden FAM dan pemilik JDT ingin meminta maaf kepada penaja yang sudah mengeluarkan beratus juta ringgit untuk melihat liga ini profesional. Kerana inilah jawapan mengapa bola sepak Malaysia tidak boleh berkembang ke arah profesional, di mana ia disebabkan oleh mentaliti dan sikap yang kuno," katanya.

Sumber: BH Online